
Najib diperintah bayar ganti rugi AS1.3 bilion kepada SRC International
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Mac telah memerintahkan Datuk Seri Najib Tun Razak, membayar ganti rugi AS$1.3 bilion kepada SRC International Sdn Bhd, selepas memutuskan berlaku pecah amanah dan salah guna kuasa oleh bekas Perdana Menteri itu.
Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin memutuskan demikian selepas membenarkan saman sivil yang difailkan syarikat berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan Najib membayar ganti rugi konspirasi, faedah sebanyak 5 peratus setahun, kos serta pelepasan lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah, lapor Berita Harian Malaysia.
Melalui penghakiman yang dibacakan selama hampir empat jam itu, Hakim Ahmad Fairuz, berkata mahkamah mendapati defendan (Najib) sebagai penasihat emeritus syarikat itu memegang kuasa mutlak dalam setiap keputusan penting membabitkan SRC, daripada penubuhan sehingga kepada usaha menutup penyelewengan.
“Defendan memainkan peranan penting dalam penubuhan SRC sebagai anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Januari 2011.
“Beliau mengarahkan pemindahan pemilikan SRC daripada 1MDB kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) pada 2012, sekali gus mengeluarkannya daripada pengawasan lembaga 1MDB dan meletakkan SRC secara langsung di bawah kawalannya sebagai Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.
“Beliau juga secara peribadi berhubung dengan Pengerusi Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pada 2011 sebelum sebarang resolusi rasmi lembaga dibuat dan perbincangan bagi mendapatkan pinjaman pertama, membuktikan bahawa pinjaman itu adalah inisiatif beliau.
“Beliau menyebabkan pindaan perlembagaan syarikat diperkenalkan yang memerlukan kelulusan beliau sendiri sebagai pemegang saham.
“Beliau turut mengarahkan penyaluran dana kepada SRC British Virgin Island (BVI) serta anak syarikat BVI, iaitu struktur yang tidak mempunyai tujuan pelaburan yang sah, sebaliknya direka untuk memudahkan penyelewengan, sekali gus menerima AS$120 juta daripada dana yang diselewengkan ke dalam akaun peribadinya,” katanya dalam prosiding itu.
Prosiding berkenaan dihadiri peguam yang mewakili SRC selaku plaintif iaitu Datuk Lim Chee Wee, manakala defendan diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Dalam pada itu, Hakim Ahmad Fairuz, berkata tindakan Najib bukan kecuaian atau kesilapan pertimbangan, sebaliknya perbuatan penipuan yang disengajakan dan dirancang demi kepentingan diri.
Justeru, katanya, Najib bertanggungjawab sebagai pemegang amanah konstruktif ke atas aset SRC yang diselewengkan melalui penipuannya dan dikehendaki mengembalikan akaun dana terbabit dan keuntungan yang diperoleh.
Mahkamah mendapati defendan bertanggungjawab untuk membayar semula dana syarikat dan pampasan masing-masing AS$1.18 bilion serta AS$120 juta.
Sementara itu, berhubung tuntutan Najib terhadap pihak ketiga membabitkan lima individu iaitu bekas pengarah syarikat SRC International, Datuk Suboh Md Yassin; Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin; Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar; Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail; mahkamah menolaknya.
Mahkamah mendapati tuntutan itu pada asasnya satu percubaan menggunakan bukti dan hujahan sama seperti dikemukakan dalam pembelaannya terhadap plaintif, bahawa pihak ketiga yang terdiri daripada Lembaga Pengarah SRC, mengawal operasi SRC dengan tujuan memindahkan liabiliti kepada semua pengarah terbabit.
Pada 7 Mei 2021, SRC di bawah pengurusan baharunya, memfailkan saman AS$1.18 bilion terhadap Najib serta enam bekas pengarah syarikat itu dengan mendakwa Najib yang juga Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019, menyalah guna kuasanya dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana syarikat itu, selain melakukan penyelewengan.
Najib, 72 tahun, kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor, sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.-1/4/2026



