TAHUKAH ANDA

Asas ekonomi Malaysia kekal kukuh, berdaya tahan – Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan asas ekonomi negara kekal kukuh dan berdaya tahan walaupun krisis tenaga global kian meruncing ketika ini.

Penegasan itu disuarakan selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini yang meneliti secara mendalam perkembangan krisis tenaga global serta implikasinya terhadap ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, Kerajaan MADANI akan terus bertindak secara proaktif berlandaskan data dan realiti semasa.

Katanya, ia termasuk mendapatkan pandangan pihak industri serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), agar setiap langkah yang diambil bersifat menyeluruh, berimbang dan berkesan.

“Dalam masa sama, saya mengajak seluruh rakyat memperkukuh ekonomi domestik. Utamakan barangan tempatan dan sokonglah usahawan kita, kerana kekuatan dalaman merupakan benteng utama dalam mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.

“Insya-Allah, setiap keputusan akan terus berpaksikan tanggungjawab dan kepentingan rakyat.

“Kerajaan akan berikhtiar memastikan kestabilan bekalan tenaga terpelihara, ekonomi terus berfungsi dengan baik, serta kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaan dalam setiap tindakan,” katanya menerusi perkongsian di media sosial beliau hari ini.

Anwar berkata, dunia ketika ini sedang memasuki fasa yang lebih mencabar dan tidak menentu, dan Malaysia tidak terkecuali daripada tempiasnya.

Katanya, semua pihak tidak boleh alpa atau terlalu selesa.

“Kita mesti bersiap siaga dengan disiplin, kecekalan dan semangat kebersamaan yang tinggi,” katanya.-1/4/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button