FOKUS

85 peratus isi rumah tidak alami kesan besar bil elektrik

Suruhanjaya Tenaga (ST) memberikan jaminan bahawa kira-kira 85 peratus isi rumah domestik tidak akan mengalami kesan besar terhadap bil elektrik mereka susulan pelaksanaan Insentif Cekap Tenaga, di tengah-tengah krisis tenaga global.

Ketua Pegawai Eksekutif ST Siti Safinah Salleh berkata insentif untuk pengguna kediaman akan kekal pada skala pengurangan bagi penggunaan hingga 1,000 kilowatt-jam (kwj) dan kekal neutral bagi penggunaan hingga 600 kwj.

“Hal ini bermakna 85 peratus pengguna domestik atau isi rumah akan kekal pada tahap yang hampir stabil atau neutral dari segi kesan terhadap bil elektrik mereka.

“Insentif ini juga terpakai kepada pengguna bukan domestik voltan rendah bagi penggunaan hingga 200 kwj dan langkah ini diharapkan dapat membantu mengurangkan sebahagian daripada kesan inflasi yang dijangka akibat krisis yang sedang berlaku,” katanya pada Semakan Kawal Selia Tahunan ST (STARR) 2026 di Putrajaya hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Ekonomi) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Harlina Samson.

Siti Safinah berkata pada peringkat ini, Malaysia masih belum terhindar sepenuhnya daripada krisis tenaga global kerana kira-kira 80 peratus daripada gas asli yang digunakan untuk penjanaan elektrik di Malaysia diperoleh daripada sumber domestik.

“Bagaimanapun, masih terdapat kesan kerana terikat dengan harga rujukan pasaran (MRP), jadi akan tetap ada impak terhadap harga, tetapi ada had siling. Had siling itu lebih rendah daripada pendedahan yang akan berlaku berdasarkan harga pasaran global,” katanya.

Sementara itu, Siti Safinah berkata ST menjangkakan pertumbuhan permintaan tenaga yang stabil, seiring dengan peluasan langkah kecekapan dan pemuliharaan tenaga pada 2026.

“Permintaan elektrik masih didorong, terutamanya oleh cuaca yang lebih panas yang dijangka di Malaysia dan pertumbuhan sektor komersial termasuk pusat data baharu yang mula beroperasi, manakala permintaan gas akan disokong oleh penjanaan tenaga dengan peningkatan sederhana dalam penggunaan perindustrian.

“Kami juga menjangkakan landskap bekalan tenaga yang semakin mencabar, dengan penjanaan tenaga boleh baharu terus meningkat walaupun jumlah hujan yang rendah menjejaskan kapasiti hidroelektrik setakat ini,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan pengguna untuk menggunakan tenaga dengan cekap dalam krisis tenaga global ketika ini.

“Semua pihak perlu mula memberikan perhatian kepada inisiatif dan langkah kecekapan tenaga dan juga penjimatan tenaga.

“Selain itu, faktor luaran yang turut diambil kira ialah kita sedang menuju ke arah iklim yang lebih panas.

“Bagi Malaysia, hal ini bermakna permintaan akan mula meningkat … dijangkakan pada Mei kerana cuaca yang lebih panas, terutamanya di kediaman apabila penggunaan sistem penyejukan dan penyaman udara bertambah,” katanya.

  • Bernama -1/4/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button