FOKUS

Kerajaan tubuh ‘War Room’ ekoran krisis Asia Barat…

Kerajaan menubuhkan sebuah pusat arahan komunikasi ekonomi atau “war room” di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sebagai langkah segera berdepan ketidaktentuan global, khususnya krisis tenaga dan konflik yang semakin meruncing di Asia Barat.

Jurucaka kerajaan Datuk Fahmi Fadzil kata pusat berkenaan akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, dengan sidang media khas dijangka diadakan hampir setiap hari bagi memastikan maklumat kepada rakyat lebih tersusun dan konsisten.

“Pada peringkat awal, sidang media mungkin diadakan setiap hari sekitar pukul 4 petang untuk menyelaras komunikasi kerajaan berkaitan respons dan langkah yang diambil terhadap krisis tenaga global serta konflik di Asia Barat,” katanya yang juga Menteri Komunikasi.

Menurut beliau, perkembangan melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran akan diberi perhatian khusus kerana berpotensi memberi kesan langsung kepada ekonomi Malaysia, terutama dari segi harga tenaga dan kestabilan pasaran.

Langkah ini mencerminkan pendekatan lebih proaktif kerajaan dalam menangani cabaran geopolitik semasa.

Kebelakangan ini, ketegangan di Asia Barat mencetuskan kebimbangan terhadap gangguan bekalan minyak global dan kenaikan kos sara hidup di banyak negara.

Fahmi menjelaskan, pusat arahan itu akan menjadi platform utama untuk menyelaras naratif kerajaan serta memberi penerangan berkala kepada rakyat.

“Kita mahu pastikan maklumat yang disampaikan tepat dan tidak bercelaru, selain membantu rakyat memahami situasi sebenar,” ujarnya.-1/4/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button