Kerajaan menawarkan rebat RM50 bagi tiket penerbangan antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan sempena sambutan Gawai dan Kaamatan bermula 15 Mei hingga 14 Jun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pemberian rebat tersebut akan memanfaatkan seramai 100,000 penumpang yang membeli tiket penerbangan bagi laluan-laluan tersebut.
Kata beliau, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan memperuntukkan RM5 juta bagi menampung kos rebat tersebut.
“Inisiatif ini bagi memelihara kemampanan operasi industri penerbangan, memberi manfaat besar kepada rakyat, khususnya mereka yang melakukan perjalanan bagi tujuan pekerjaan, pendidikan, urusan keluarga dan lain-lain keperluan harian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Kempen Penggunaan Rel Bagi Menangani Peningkatan Kos Bahan Api, di kementeriannya, hari ini.
Menurutnya lagi, langkah ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan sistem pengangkutan awam negara terus menjadi pilihan utama yang mampu dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.
Selain itu, antara inisiatif yang diumumkan turut membabitkan pelanjutan tempoh kredit bagi bayaran fi dan caj daripada 30 hari kepada 60 hari, berkuat kuasa 1 Mei 2026.
“Ini akan membantu sedikit aliran tunai (cash flow) mereka untuk tempoh dua bulan. Perkara ini juga dialu-alukan oleh syarikat penerbangan selepas kita mengadakan mesyuarat bersama mereka semalam,” katanya lagi.-14/4/2026

