Perkembangan terkini melibatkan Indonesia wajar diberi perhatian serius oleh negara-negara serantau, khususnya Malaysia. Presiden Prabowo Subianto dilihat mengatur langkah diplomasi yang aktif di pelbagai medan kuasa besar dunia.
Dalam masa yang sama beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, Menteri Pertahanannya pula berada di Amerika Syarikat bertemu Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth. Pertemuan ini dilaporkan melibatkan perjanjian kerjasama pertahanan berskala besar antara Amerika Syarikat dan Indonesia.
Apa yang membimbangkan, kerjasama ini turut menyentuh aspek keselamatan maritim termasuk laluan strategik seperti Selat Melaka — satu kawasan yang dikongsi bersama oleh Malaysia dan Indonesia, sama seperti Selat Hormuz yang dikongsi Iran dan Oman.
Untuk rekod, Selat Melaka merupakan laluan perkapalan paling sibuk di dunia, manakala Selat Hormuz berada di tempat kedua. Dianggarkan kira-kira 80 peratus import minyak China melalui Selat Melaka — menjadikannya nadi penting kepada ekonomi global.
Perjanjian pertahanan antara Amerika Syarikat dan Indonesia ini meliputi pelbagai aspek seperti operasi maritim, keupayaan bawah permukaan, sistem autonomi serta latihan pasukan khas. Implikasi strategiknya tidak boleh dipandang ringan, khususnya dalam konteks persaingan kuasa besar antara Amerika Syarikat dan China.
Pendekatan Prabowo Subianto boleh diibaratkan sebagai “berenang dengan jerung” — satu strategi berisiko tinggi dengan cuba mengekalkan hubungan dengan pelbagai blok kuasa, termasuk Amerika Syarikat, China dan Rusia. Jika berjaya, ia mungkin memberi kelebihan strategik. Namun jika tersilap langkah, kesannya boleh mengundang ketegangan yang lebih besar di rantau ini.
Kebimbangan utama ialah kemungkinan rantau Asia Tenggara, khususnya laluan strategik seperti Selat Melaka, dijadikan medan percaturan geopolitik kuasa besar. Sekiranya laluan ini dilihat sebagai sebahagian daripada kepentingan ketenteraan mana-mana pihak, ia berpotensi menjadi sasaran dalam konflik berskala lebih besar.
Sejarah menunjukkan bahawa negara yang menyediakan ruang atau kemudahan strategik kepada kuasa besar sering terdedah kepada risiko menjadi sasaran musuh mereka.
Oleh itu, prinsip berkecuali yang menjadi asas kepada ASEAN perlu terus dipertahankan. Rantau ini tidak seharusnya terheret ke dalam konflik yang bukan kepentingan langsung negara-negara anggotanya.
Akhirnya, semua pihak perlu sedar bahawa memulakan perang mungkin mudah, tetapi untuk menamatkannya adalah jauh lebih sukar. Justeru, setiap langkah strategik perlu diteliti dengan penuh tanggungjawab demi memastikan keamanan serantau terus terpelihara.-14/4/2026 OLEH HELME HANAFI

