Tahukah anda empat karya seni bernilai tinggi berjaya dibawa pulang ke Malaysia sebagai sebahagian usaha pemulihan aset berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan memaklumkan, karya berkenaan kini ditempatkan dengan selamat di ibu pejabatnya di Putrajaya.
Karya seni itu merupakan sebahagian daripada aset yang berjaya dipulihkan menerusi pendekatan bersepadu kerajaan, diterajui SPRM dengan kerjasama agensi penguatkuasaan tempatan serta rakan strategik antarabangsa.
Nilai keseluruhan karya seni itu dianggarkan AS$198,125.00 (RM786,556.25) melibatkan hasil karya artis terkenal dunia.
Karya seni tersebut ialah Joan Miró menerusi karya Composition (1953); Maurice Utrillo melalui Maison de rendez-vous de chasse de Henri IV, Rue St. Vincent, Montmartre (1934); Balthus dengan karya Etude pour femme couchée (1948) serta Pablo Picasso menerusi L’Ecuyere et les clowns (1961).
“Kesemua karya seni ini telah ditempatkan di lokasi khas dengan kawalan keselamatan yang ketat dan sedang melalui proses penstabilan persekitaran bagi memastikan pemeliharaan optimum sebelum proses pembukaan, pengesahan dan penilaian dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN),” menurut kenyataan itu.
Pemulangan itu mencerminkan kejayaan berterusan Malaysia dalam usaha mendapatkan semula aset yang diseleweng, selain memperkukuh kedudukan negara dalam amalan pemulihan aset di peringkat antarabangsa.
SPRM memaklumkan sehingga kini, Malaysia berjaya memulihkan aset berkaitan 1MDB berjumlah kira-kira RM31.2 bilion, iaitu hampir 70 peratus daripada keseluruhan aset yang dikenal pasti.
Menurutnya, pencapaian itu merupakan satu kejayaan signifikan dan sering dijadikan rujukan serta penanda aras di peringkat antarabangsa dalam usaha pemulihan aset hasil jenayah kewangan berskala besar.
SPRM menegaskan usaha pengesanan dan pemulihan aset akan terus diperkukuh bagi memastikan hasil jenayah dikembalikan kepada negara.15/4/2026

