Gangguan bekalan elektrik punca sistem bagasi terjejas di Terminal 1 KLIA

Kementerian Pengangkutan (MOT) mengesahkan gangguan bekalan elektrik telah menyebabkan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terjejas, pada Sabtu.

Menurut kenyataan MOT, hasil siasatan telah mengenal pasti punca utama gangguan berkenaan, dan langkah mitigasi segera serta jangka panjang sedang dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian berulang di samping memperkukuh daya tahan sistem.

“Pada kira-kira 4.54 petang, 18 April, rizab Gas Insulated Switchgear (GIS) 132kV di pencawang Bukit Raja mengalami gangguan (trip), sekali gus menyebabkan penurunan voltan yang menjejaskan operasi di KLIA.

“Gangguan itu mengakibatkan kegagalan pada kawalan BHS, seterusnya menyebabkan sistem utama terhenti dan menjejaskan pemprosesan bagasi bagi penerbangan berlepas dan ketibaan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan susulan mesyuarat penyelarasan kecemasan yang dipengerusikan Ketua Setiausaha MOT Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan, hari ini.

MOT memaklumkan walaupun sistem tersebut disokong oleh unit Bekalan Kuasa Tidak Terganggu (UPS), sebanyak enam unit telah terjejas, sekali gus mendedahkan kelemahan dalam daya tahan sistem.

“Antara 5 petang hingga 10.30 malam pada 18 April, lapangan terbang mengendalikan sejumlah 23,769 bagasi. Walaupun sebahagian besar operasi berjalan seperti biasa, sebanyak 1,061 bagasi dilaporkan sebagai shortshipped, manakala 120 bagasi dikenal pasti sebagai kehilangan dalam pengendalian ketibaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut MOT, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bersama rakan pengendali darat telah berjaya menyerahkan sebahagian besar bagasi tersebut, dengan hanya sejumlah kecil masih dalam peringkat akhir pelepasan atau tuntutan.

“Jadual penerbangan tidak terjejas, tanpa sebarang kelewatan atau pembatalan dilaporkan akibat insiden ini. Namun, semakan dalaman mengenal pasti beberapa cabaran utama termasuk penyelarasan di lapangan, masa tindak balas dan keterlihatan sistem secara masa nyata.

“Walaupun Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP) telah diaktifkan, skala gangguan melebihi senario sedia ada. Sebagai tindak balas segera, MAHB dan rakan syarikat penerbangan melaksanakan prosedur manual serta menambah tenaga kerja bagi menstabilkan aliran penumpang dan mengurangkan kesulitan,” menurut kenyataan itu.

MOT telah mengarahkan rombakan menyeluruh terhadap protokol dan infrastruktur pengendalian bagasi di KLIA susulan gangguan operasi berkenaan, selain memantau rapat pelaksanaan penambahbaikan tersebut.

“Pada 22 April, MOT akan membentangkan Nota Kabinet berhubung insiden ini. Selain itu, Pengarah Urusan MAHB diarah untuk mengemukakan laporan kemajuan mingguan mengenai penstabilan operasi bagasi.

“Pada masa sama, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sedang menjalankan siasatan dan akan bekerjasama dengan MAHB bagi memastikan operasi kembali stabil sepenuhnya serta mematuhi semua piawaian keselamatan dan perkhidmatan ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

MOT memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa langkah proaktif dan tegas sedang dipercepat bagi mengelakkan kejadian berulang serta memastikan KLIA terus beroperasi pada tahap kecekapan dan kebolehpercayaan tertinggi.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata CAAM, sebagai pengawal selia penerbangan tunggal negara, telah diarahkan menyiasat insiden berkenaan.-21/4/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.