Fahmi jelaskan pasal 200 juta liter diesel yang dalam perjalanan ke Australia

Tambahan 200 juta liter diesel yang sedang dalam perjalanan ke pantai Australia bukan milik Malaysia.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan selepas semakan dibuat dengan Pusat Arahan Komunikasi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Fahmi beritahu pada sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada Rabu bahawa beliau ada membaca laporan daripada sebuah agensi berita Australia yang menyatakan 200 juta liter diesel itu melibatkan beberapa negara termasuk Brunei dan Malaysia.

“Semakan mengesahkan bahawa ia bukan diesel Malaysia, sebaliknya sama seperti penghantaran diesel ke Filipina sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, Australia mempunyai kontrak perdagangan dengan British Petroleum (BP) yang mempunyai gudang di perairan Malaysia.

“Kapal yang akan mengangkut diesel tersebut akan bergerak dari Malaysia, tetapi itu bukan diesel Malaysia,” jelas Fahmi.

Awal pagi Rabu, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, dilaporkan berkata bahawa tambahan 200 juta liter diesel sedang dalam perjalanan ke negara itu, dengan bekalan diperoleh melalui skim pembiayaan eksport kerajaan Persekutuan.

Difahamkan, dua kargo datang dari Korea Selatan, satu dari Brunei dan satu lagi dari Malaysia.

Menteri Tenaga Australia, Chris Bowen, berkata bahawa kargo tambahan itu akan menyediakan bekalan tambahan dan dijangka tiba di Australia pada minggu terakhir Mei atau minggu pertama Jun.- 22/4/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.