Hantaran hina Sultan: EXCO Selangor gesa PDRM, MCMC ambil tindakan tegas

Beberapa EXCO Kerajaan Selangor meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan tegas terhadap hantaran yang menghina Sultan Selangor menerusi media sosial.

Mereka menyifatkan tindakan berkenaan sebagai melampau, biadab dan tidak boleh diterima sama sekali dalam sebuah negara yang berteraskan Perlembagaan dan Rukun Negara.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kebudayaan negeri, Datuk Borhan Aman Shah, berkata tindakan berkenaan adalah penghinaan serius terhadap Institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi payung kepada kestabilan dan keharmonian negara.

“Mana-mana pihak yang terbabit tidak boleh dilindungi, tidak kira latar belakang atau alasan yang diberikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, tindakan memuat naik suntingan gambar menghina dan mengaitkannya dengan Sultan Selangor boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat.

“Saya gesa PDRM jalankan siasatan dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang terbabit manakala MCMC perlu memantau, menyekat dan menurunkan kandungan berunsur penghinaan ini,” katanya.

Turut mengecam hantaran berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri, Ng Sze Han; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd Najwan Halimi; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Rizam Ismail serta Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri, V Papparaidu. – BERNAMA – 27/4/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.