UMNO dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mempunyai majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Negeri Sembilan dalam kenyataan memaklumkan, hal itu selepas lima ADUN Perikatan Nasional ( PN) menyatakan kesediaan untuk bekerjasama demi menjamin kelangsungan pentadbiran kerajaan.
Menurut ADUN BN Negeri Sembilan, melalui kenyataan sokongan daripada lima ADUN PN, UMNO BN telah mempunyai majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Negeri.
“UMNO dan BN Negeri Sembilan mengambil maklum akan kenyataan media yang dikeluarkan oleh ADUN PN Negeri Sembilan hari ini.
“Pihak kami menghargai keprihatinan yang dizahirkan oleh ADUN-ADUN PN berhubung kemelut yang sedang melanda pentadbiran Kerajaan Negeri pada saat ini,” jelas kenyataan itu.
ADUN BN Negeri Sembilan menambah, dalam situasi luar biasa ini, kepentingan rakyat Negeri Sembilan mengatasi segala kepentingan kepartian.
Tegas ADUN BN Negeri Sembilan, mereka berjiwa besar untuk mengetepikan perbezaan ideologi demi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk dengan segera.
Kenyataan itu memaklumkan, UMNO BN sentiasa bersikap pragmatik dan inklusif.
“Kami percaya bahawa penyatuan suara majotiti ADUN mampu memberikan naratif baharu yang lebih kukuh untuk memacu pembangunan negeri dan mempertahankan adat di negeri ini,” jelas kenyataan tersebut.-28/4/2026

