Kalau semalam Selasa bekas pembantu kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, James Chai beri keterangan kepada SPRM selama 8 jam ….hari ini Rabu hampir 10 jam.
Beliau tiba di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya sekitar pukul 9.45 pagi sebelum meninggalkan bangunan berkenaan pada 6.45 petang.
Esok,Khamis beliau akan sambung beri keterangan.
Beliau diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung projek semikonduktor dibiayai kerajaan bernilai kira-kira RM1.1 bilion.
Siasatan berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan perjanjian antara Kerajaan Malaysia dan Arm Holdings.
Ia dibuka susulan aduan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempersoalkan proses perjanjian berkenaan, termasuk dakwaan ia dibuat secara tergesa-gesa serta berpotensi memberi implikasi kewangan kepada kerajaan.
Selain itu, siasatan turut meneliti kemungkinan wujud konflik kepentingan membabitkan pelantikan beberapa individu ke jawatan dalam syarikat asing selepas meninggalkan perkhidmatan dalam kementerian.
Pada 1 April lalu, SPRM memberi tempoh dua minggu kepada James Chai untuk tampil membantu siasatan, termasuk menawarkan tanggungan kos penerbangan untuk pulang ke Malaysia.
James Chai kini berkerja di United Kingdom – 29/4/2026
Bekas pembantu Rafizi, James Chai beri keterangan 8 jam kepada SPRM
Bekas pegawai Datuk Seri Rafizi Ramli semasa beliau Menteri Ekonomi iaitu Chai Jin Shern atau James Chai, pada Selasa beri keterangan lebih 8 jam kepada SPRM.
Difahamkan James Chai hadir bagi membantu siasatan dakwaan penyelewengan berkaitan perjanjian mega dengan syarikat semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom (UK) iaitu ARM Holdings Plc.
James Chai sekarang berkerja di United Kingdom.
Pada 1 April lalu, SPRM dalam kenyataan berkata, James Chai telah dikenal pasti sebagai individu yang diperlukan untuk membantu siasatan.
Menurut SPRM, pada 4 Mac 2026 agensi berkenaan telah mengeluarkan Notis Mengesan Individu bagi mengesan James Chai sebelum menerima surat daripada Tetuan individu terbabit bertarikh 9 Mac 2026 yang memaklumkan bahawa James Chai tidak dapat hadir untuk dirakam percakapan dengan alasan kos penerbangan dan kekangan pekerjaan.
SPRM kemudiannya telah mengeluarkan surat balas bertarikh 13 Mac 2026 memberi lanjutan masa untuk James Chai hadir pada 31 Mac 2026, namun beliau sekali lagi gagal memaklumkan keinginan untuk hadir.
Berikutan itu, SPRM telah mengeluarkan surat pada 1 April yang menetapkan bahawa James Chai perlu hadir dalam tempoh dua minggu.
Pada 12 Februari, SPRM menerima laporan berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan RM1.11 bilion melibatkan bekas menteri kanan sebuah kementerian.
Difahamkan SPRM akan meneruskan proses merakam keterangan James Chai pada Rabu.- 28/4/2026

