Kementerian Kewangan (MOF) sedang meneliti mekanisme subsidi diesel lebih bersasar bagi Sabah dan Sarawak, termasuk pendekatan seperti BUDI95 yang dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu sedang diperhalusi bagi memastikan pelaksanaan subsidi lebih berkesan serta memberi manfaat kepada kumpulan sasar tanpa membebankan fiskal negara.
“Usaha tersebut merupakan sebahagian langkah penambahbaikan sistem subsidi secara berperingkat agar lebih adil dan mampan di seluruh negara.
“Pada waktu ini, belum dibincangkan mengenai harga bagi Sabah dan Sarawak (kerana) perkara ini masih dalam penelitian oleh MOF” katanya dalam sidang media mingguan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata tiada keperluan buat masa ini untuk menurunkan subsidi minyak susulan bekalan yang masih stabil.
“Setakat yang dimaklumkan, bekalan terutama oleh Petronas adalah mencukupi bagi Mei dan Jun, dan tidak menimbulkan sebarang masalah.
“Namun pada masa sama, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sedang meneliti dan memberi perhatian serius terhadap pergerakan harga global minyak mentah serta produk seperti RON95 dan diesel, susulan situasi di Selat Hormuz yangbelum stabil,” katanya.-30/4/2026

