Ada tiga masjid tua di Melaka — bahkan antara yang tertua di Malaysia — yang usianya hampir mencecah 300 tahun dan masih teguh berfungsi hingga hari ini.
Dalam kesempatan tiga hari dua malam di Melaka kali ini, memang kami pasang niat untuk singgah, ziarah dan solat di masjid-masjid bersejarah ini.
Entah berapa juta doa sudah diangkat di ruang-ruang masjid ini sepanjang ratusan tahun. Bayangkan sahaja, Masjid Tengkera misalnya dua tahun lagi genap 300 tahun dibina sejak 1728.
Tetapi di sebalik faktor usia, apa yang paling menarik perhatian sebenarnya ialah seni bina masjid-masjid ini. Ketiga-tiganya dibina pada era yang hampir sama, di negeri yang sama, tetapi identitinya sangat berbeza daripada kebanyakan masjid moden hari ini.
Masjid Kampung Hulu, Masjid Kampung Kling dan Masjid Tengkera tidak mempunyai kubah bulat besar seperti masjid moden yang banyak dipengaruhi seni bina Timur Tengah dan era Uthmaniyah seperti Masjid Putrajaya, Masjid Wilayah dan majoriti masjid yang dibina selepas merdeka.
Sebaliknya, masjid-masjid tua di Melaka ini menampilkan identiti seni bina asli Nusantara.
Dari jauh lagi sudah boleh nampak keunikannya bukan kubah bawang, tetapi bumbung “meru” bertingkat tiga.
Reka bentuk ini memang berasal daripada seni bina Nusantara dan Jawa. Sebenarnya sangat bijak dari sudut kejuruteraan tradisional kerana bumbung bertingkat ini membantu pengudaraan semula jadi. Walaupun cuaca di luar panas membahang, suasana di dalam masjid tetap terasa nyaman.
Selain itu, seni binanya juga memperlihatkan gabungan budaya Melayu, Cina dan Hindu dalam satu bangunan. Memang benar-benar menggambarkan Melaka sebagai pelabuhan tumpuan pada ketika itu.
Masjid Kampung Hulu yang dibina sekitar tahun 1720-an misalnya diasaskan oleh seorang mualaf berketurunan Cina, Dato’ Aroon.
Masjid Kampung Kling pula dibina sekitar tahun 1748 oleh pedagang India Muslim. Di dalamnya boleh dilihat gabungan budaya yang cukup unik — tiang gaya Eropah, jubin Portugis serta ukiran bercorak Cina dan Hindu.
Manakala Masjid Tengkera yang dibina sekitar tahun 1728 pula kekal dengan identiti Nusantara tanpa kubah besar, dengan menara berbentuk pagoda yang cukup ikonik.
Sebab itu apabila masuk ke masjid-masjid lama ini, rasa dia lain sedikit.
Bukan sekadar cantik pada seni binanya, tetapi ada rasa tenang yang sukar dijelaskan.
Masjid-masjid ini sudah ratusan tahun menjadi tempat sujud, tempat orang menangis dalam doa, tempat musafir berehat dan tempat manusia meminta harapan kepada Tuhan.
Mungkin sebab itu juga ramai yang percaya, ada keberkatan tersendiri apabila kita dapat singgah dan tumpang berdoa di masjid-masjid tua seperti ini.-4/5/2026

