MCMC beri amaran tegas terhadap kandungan 3R

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi amaran tegas kepada semua pihak supaya tidak menghasilkan atau menyebarkan kandungan berkait isu kaum, agama dan institusi diraja (3R), khususnya yang bersifat provokatif, menghina, menghasut kebencian atau boleh mencetuskan ketegangan awam.

MCMC dalam kenyataan memaklumkan, suruhanjaya itu memandang serius penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian dan platform dalam talian yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan bagi menyiasat kandungan yang melanggar undang-undang.

“Pesalah boleh dikenakan tindakan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dengan hukuman denda sehingga RM500,000, penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, MCMC turut akan mengambil tindakan terhadap penyedia platform yang tidak memberi kerjasama, dan mengingatkan mereka supaya mematuhi undang-undang serta mencegah penyalahgunaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi bagi mengelakkan salah faham atau permusuhan.
Kongsi berita

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.