Hari pertama: Rafizi beri keterangan SPRM selama 8 jam

Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli akan sambung beri keterangan kepada SPRM jam 10 pagi esok,Selasa selepas proses berkenaan pada hari pertama berlangsung selama lebih 8 jam.

Hari ini bekas Timbalan Presiden PKR itu tiba di bangunan SPRM,Putrajaya jam 9.30 pagi untuk beri keterangan jam 10 pagi.Ia cuma berakhir jam 6.40 petang.

Beliau dipercayai beri keterangan berhubung siasatan melibatkan perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan syarikat semikonduktor dari United Kingdom, Arm Holdings Inc.

Rafizi yang ditemui wartawan kata proses berkenaan berjalan lancar meskipun mengambil masa panjang, selain menegaskan beliau memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan.

“Proses berjalan lancar, cuma panjang kerana banyak soalan dikemukakan dari pagi hingga petang,” katanya.

Selain itu, Rafizi turut memaklumkan beliau perlu hadir semula ke SPRM pada pukul 10 pagi esok bagi menyambung sesi soal siasat.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan akan dipanggil lagi untuk beberapa hari berikutnya, bergantung kepada keperluan siasatan.

Mengulas lanjut, beliau berkata proses berkenaan turut melibatkan waktu rehat singkat termasuk untuk solat dan makan tengah hari.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai skop atau sudut siasatan yang sedang dijalankan.

Kes membabitkan Rafizi disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

SPRM membuka kertas siasatan pada 16 Februari lalu susulan aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian projek dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberikan kesan kewangan kepada kerajaan.

Selain itu, siasatan turut menjurus kepada kemungkinan wujud unsur konflik kepentingan membabitkan beberapa individu yang dikatakan diberikan jawatan tinggi dalam syarikat asing berkenaan selepas berhenti daripada perkhidmatan di sebuah kementerian.- 4/5/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.