Pendirian Sultan Selangor adalah jelas dan terang mengenai aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor dan baginda tidak berganjak.
Hal ini dititah baginda menerusi satu kenyataan yang dimaklum oleh Setiausaha Sulit Kanan baginda Datuk Mohamad Munir Bani pada Khamis.
Kenyataan baginda hari ini mempertegaskan titah baginda bulan lalu yang tidak berkenan mana-mana kawasan di negeri itu dijadikan tempat penternakan babi, susulan kebimbangan pencemaran dan tanah yang terhad.
Baginda kekal dengan pendirian tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.
Baginda juga, menegaskan agar isu penternakan haiwan itu dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya (full stop) demi mengelakkan keresahan, serta memastikan keamanan dan keharmonian rakyat terpelihara.
“Pendirian tersebut dibuat setelah mengambil kira implikasi penternakan babi yang boleh menyebabkan pencemaran pada tanah, udara dan risiko pencemaran sumber air sungai melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan babi,” kata Mohamad Munir
Baginda menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti berkenaan boleh menjejaskan kawasan tadahan air serta sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada kira-kira sembilan juta penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Baginda menyarankan kerajaan memberi lesen import daging babi bagi menampung permintaan orang bukan Islam di Selangor.
Mengambil contoh jiran terdekat, iaitu Singapura, Mohamad Munir berkata republik itu juga tidak menternak babi dan mengimport daging babi dari luar.
Baginda mencadangkan agar daging babi diimport dari negeri lain seperti Sarawak bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam yang makan babi di negeri Selangor.
Baginda juga berpandangan bahawa penternakan babi–tidak kira berskala besar atau kecil– tidak sesuai dilaksanakan di Selangor memandangkan sumber tanah yang terhad serta nilai hartanah yang tinggi.
Hartanah negeri ini, titah baginda, sewajarnya dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan yang lebih ekonomik dan memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.- 7/5/2026

