Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan Allahyarham Jalil Hamid yang meninggal dunia hari ini sebagai penghibur unik yang memiliki gaya dan bakat tersendiri.
Menurut Fahmi, Jalil bukan sahaja dikenali dalam dunia lakonan, malah turut menyerlah dalam bidang nyanyian sejak lebih empat dekad lalu.
Menerusi hantaran di media sosial beliau berkata,“Allahyarham Jalil adalah seniman yang tidak asing dalam dunia lakonan dan nyanyian. Segala jasa, bakti dan sumbangannya akan sentiasa dikenang.”
Jalil, 69, meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Shah Alam kira-kira jam 12.30 tengah hari Isnin.
Fahmi turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berharap mereka tabah menghadapi ujian ini.
“Semoga mereka diberi kekuatan dan kesabaran. Sama-sama kita doakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.
Dilahirkan pada 25 April 1957 di Johor, Jalil membesar di Felda Cahaya Baru dan mula mencipta nama dalam industri hiburan sekitar 1980-an.
Sepanjang kerjayanya, beliau dikenali sebagai artis versatil yang mampu membawa pelbagai watak, daripada komedi hingga drama berat.
Antara pencapaian cemerlangnya termasuk memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-13 menerusi filem Baginda serta Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2016 bagi Calon Syurga.
Beliau juga pernah meraih Pelakon Lelaki Terbaik Filem pada Anugerah Telenovela 2018 melalui Bisik Pada Langit.
Selain lakonan, Jalil turut mencipta fenomena menerusi lagu komedi “Ayam” pada tahun 1993, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai penghibur serba boleh yang dekat di hati peminat.4/5/2026

