Krisis istana Negeri Sembilan : Pengumuman lantikan Undang Sungai Ujong yang baru

Ketika krisis istana di Negeri Sembilan nampaknya belum beres lagi seorang akauntan berusia 29 tahun,Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungai Ujong yang baru.

Sebaliknya Mubarak Thahak dan penyokongnya termasuk tiga undang yang lain terus menegaskan bahawa beliau masih menjadi Undang Sungai Ujong.

Lantikan itu diumum menerusi kenyataan Majlis Datuk Lembaga Adat Sungai Ujong hari ini.

Katanya keputusan itu dibuat “mengikut undang-undang teradat” iaitu merujuk kepada “berkeadilan, berundang, bersalasilah” dan “berteromba” pada 22 April lalu.

“Pemilihan (dibuat) mengikut salasilah pada Fasal 27 Teromba dan Salasilah Negeri Sungai Ujong 1910 dan hukum adat patah tumbuh termaktub pada Fasal 5 Undang-undang Sungai Ujong,” kata kenyataan itu.

Ia ditandatangan oleh Waris Nan Tua Klana Hulu, Shaharumzaman Abdul Malik, dan bertarikh hari ini.

Menurut kenyataan itu Faris merupakan waris yang menjadi keturunan langsung Undang Luak Sungai Ujong yang pertama, Datuk Kelana Petra Bador, melalui keturunan sebelah ibu.

Sebelum ini Mubarak diketepikan daripada jawatan Undang Luak Sungai Ujong atas tuduhan melakukan kesalahan – yang tidak dinyatakan – dan langkah itu dilaporkan disahkan oleh Yang di-Pertuan Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir namun mencetuskan krisis dalam institusi diraja negeri tersebut.

Undang Jelebu, Johol, dan Rembau terus menyokong Mubarak dan mempertikaikan penyingkirannya.

Mereka kemudian secara bersama mendesak untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai pemerintah negeri.

Minggu lalu, kerajaan negeri mengarahkan Mubarak mengosongkan kediaman rasminya dan menghentikan penggunaan dewan istiadat rasmi – suatu keputusan yang belum dipatuhinya.- 5/5/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.