Kenyataan bersama pimpinan tertinggi PH dan BN mengenai isu Negeri Sembilan

Perhatian pada petang Selasa bertumpu ke Kompleks Sri Perdana di Putrajaya bilamana semua pimpinan utama Barisan Nasional dan Pakatan Harapan adakan pertemuan berkaitan isu politik di Negeri Sembilan.

Ini adalah pertemuan peringkat tertinggi pertama antara kedua pihak sejak isu berkenaan berbangkit.

Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan antara kedua-dua gabungan itu dipengerusikan bersama Perdana Menteri Datuk Sri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi.

Turut hadir Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan, Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said dan Setiausaha Agung UMNO Asyraf Wajdi Dusuki.

Mesyuarat yang bermula sekitar 5.15 petang itu berakhir kira-kira 6.20 petang, dengan tumpuan kepada isu politik semasa termasuk situasi di Negeri Sembilan.

Mengikut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PH Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki pimpinan kedua pihak mencapai persetujuan untuk mengekalkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan, susulan perkembangan politik di negeri itu demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Majlis perundingan tersebut menghormati pendirian diputuskan oleh Biro Politik kedua-dua pihak berhubung isu di Negeri Sembilan.

“Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-Pakatan Harapan juga bersetuju untuk memastikan apa jua keputusan Kerajaan Negeri Sembilan yang boleh mencetuskan sebarang bentuk sensitiviti dan membuka ruang perselisihan mesti segera dirujuk kepada Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-Pakatan Harapan,” katanya.

“Langkah berkenaan diambil bagi memastikan keharmonian pentadbiran terus terpelihara dan mengelakkan sebarang ruang konflik yang boleh menjejaskan kerjasama erat antara UMNO dan PH di peringkat negeri,” tambah kenyataan.- 5/5/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.