Dalam langkah untuk mengurangkan beban rakyat… Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi milik kerajaan yang menyewakan kedai untuk menurunkan harga sewaan berkuasa kuasa bulan ini.
Jelas beliau, ia merupakan sebahagian daripada usaha yang diambil oleh kerajaan bagi membantu para peniaga kecil dalam mendepani krisis bekalan global ketika ini.
“Saya fikir langkah pertama yang harus dilakukan ialah mengurangkan kadar sewa, kebanyakan kedai-kedai ini dimiliki oleh syarikat kerajaan atau pun agensi kerajaan seperti Mara dan UDA.
“Mulai bulan ini juga boleh mengurangkan kadar sewa di semua premis perniagaan mereka, mereka akan umumkan mengikut daerah dalam masa yang terdekat,” katanya dalam Sidang Media: Krisis Bekalan Global, pada Selasa.
Pada masa sama, Perdana Menteri berhasrat untuk memperhebatkan lagi Program Jualan Rahmah MADANI ke seluruh negara bagi membantu sedikit sebanyak masalah didepani rakyat ketika ini.
Jelasnya, pada tahun lalu, sebanyak 25,000 program sedemikian telah dijalankan dengan pada tahun ini sasarannya mencecah kepada 30,000 program.
“Jualan Rahmah MADANI setakat ini dikendalikan oleh Kementerian Pengguna telah berhasil mengurangkan harga sehingga 30 peratus lebih murah ketimbang harga pasaran.
“Semua kawasan DUN mesti dilakukan seminggu sekali dengan cara ini pembeli dapat kepastian barangan di mana boleh dibeli dan pada hari dan tarikh ditetap,” katanya lagi.-6/5/2026

