Saya bukan warga Turkiye, tidak pernah terbabit sebarang aktiviti mencuri atau pengubahan wang haram – Farhash

Seorang bekas pegawai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini ahli perniagaan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador menafikan beliau kini seorang warganegara Türkiye dan juga terlibat dalam pengubahan wang haram berjumlah berbilion ringgit.

Beliau mengeluarkan satu kenyataan pada Rabu susulan laporan beberapa media yang menyiar dan mengulangi dakwaan yang amat serius terhadap dirinya, terkait kegiatan itu di luar negara antaranya di Turkiye dan Afrika.

“Saya dengan tegas dan tanpa sebarang keraguan menafikan semua tuduhan tersebut. Dakwaan-dakwaan ini adalah tidak benar, tidak berasas dan bersifat fitnah yang jelas bertujuan untuk mencemarkan reputasi serta integriti saya, selain memberi kesan negatif kepada kehidupan peribadi dan urusan perniagaan saya.

“Untuk penjelasan, saya bukan seorang warga Turkiye, tidak pernah terbabit dalam sebarang aktiviti mencuri atau pengubahan wang haram seperti yang didakwa, dan tidak mempunyai sebarang akaun bank di Turkiye.

“Saya hanyalah seorang ahli perniagaan dan tidak terbabit dalam politik sekarang. Saya langsung tidak mengetahui mengapa saya diheret ke dalam perkara ini, melainkan bahawa individu-individu tersebut mempunyai niat sebaliknya untuk meraih kepentingan politik,” katanya.

Farhash berkata beliau memandang serius penyebaran rakaman video tersebut, yang disebarkan dengan niat jahat oleh pihak-pihak tertentu. Tindakan ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah berpotensi melanggar undang-undang.

“Sehubungan itu, saya telah membuat laporan polis dan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut di bawah peruntukan undang-undang yang berkaitan, termasuk Seksyen 499 Kanun Keseksaan. Saya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam proses siasatan ini,” katanya.

Beliau juga telah mengarahkan peguam akan mengambil dan memfailkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang terbabit dalam penyebaran fitnah ini demi melindungi nama baik serta kepentingannya .- 6/5/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.