Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Johor Bharu pada 17 Mei ini…

Dicelah kehangatan orang bercakap mengenai desas desus pilihanraya negeri dan umum semakin hampir,Pakatan Harapan mengumumkan penganjuran konvensyen yang dijadual berlangsung pada 17 Mei ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru.

“Tekad Madani, Harapan Rakyat” itulah tema konvensyen Pakatan Harapan 2026 yang diumum menerusi kenyataan Bersama Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil; Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Zahari dan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Sri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan amanat khas kepada para perwakilan bagi memperkukuh kesatuan dan kesiapsiagaan gabungan itu dalam menghadapi cabaran politik semasa.

Program sehari itu akan berlangsung dari pukul 8 pagi hingga 6 petang dengan penyertaan pimpinan utama parti komponen serta perwakilan dari seluruh negara.

Untuk rekod, kali terakhir Konvensyen PH diadakan ialah pada tahun 2022, beberapa bulan sebelum PRU-15 yang menyaksikan gabungan itu kembali menerajui Putrajaya bersama parti-parti lain menerusi Kerajaan Perpaduan.

Penganjuran semula konvensyen itu dilihat signifikan ketika landskap politik negara terus berdepan pelbagai cabaran termasuk persaingan menjelang PRN di beberapa negeri dan persiapan awal menuju PRU-16.

Menurut PH, langkah itu mencerminkan komitmen berterusan gabungan berkenaan dalam memperkukuh organisasi parti, memperkasa agenda reformasi serta memastikan aspirasi Kerajaan Madani dapat diteruskan demi kepentingan rakyat.-8/5/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.