Parti Bersatu pada Jumaat bergegar lagi dengan tindakan pemecatan dan pengantungan wakil rakyatnya.
Tindakan ini tidak dianggap mengejutkan ekoran krisis kepimpinan parti itu gara-gara pemecatan bekas Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin baru-baru ini.
Dalam Tindakan yang diputuskan oleh Lembaga Disiplin Bersatu dua Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) yakni Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang) yang merupakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, serta Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti) yang juga Ketua BERSATU Bahagian Alor Setar dipecat.
Selain itu, Ketua BERSATU Bahagian Hulu Langat, Muhammad Faiz Rahmad yang merupakan Naib Ketua ARMADA Nasional, turut dipecat keahlian berkuat kuasa hari ini.
Tujuh wakil rakyat yang digantung keahlian pula termasuk lima Ahli Parlimen, iaitu Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Khalib Abdullah (Rompin), Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh).
Dua lagi digantung ialah ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain yang juga Ketua ARMADA Bahagian Padang Rengas, dan ADUN Kuala Sepetang, Ahmad Man.
Mengikut Fasal 22.5, mereka yang dikenakan tindakan penggantungan keahlian bagi tempoh dua penggal pemilihan parti juga adalah atas tindakan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.- 8/7/2026

