Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dibebaskan lebih awal dari penjara hari ini.
Beliau yang berusia 76 tahun itu menjalani hukuman penjara setahun atas kesalahan rasuah sejak September tahun lalu dan dikehendaki memakai alat pemantauan elektronik sepanjang tempoh percubaan atau parol selama empat bulan.
Thaksin dilihat memeluk ahli keluarganya di luar penjara, manakala ratusan penyokongnya turut kelihatan berhimpun menyambut pembebasannya.
Parti Pheu Thai yang diterajui keluarganya, termasuk versi terdahulu parti itu, merupakan antara parti politik paling berjaya di Thailand pada abad ke-21 dengan keluarga Shinawatra melahirkan empat perdana menteri serta mendapat sokongan besar masyarakat luar bandar.
Bagaimanapun, Pheu Thai mencatat keputusan pilihan raya paling buruk dalam sejarahnya pada Februari lalu apabila jatuh ke tempat ketiga, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai masa depan dinasti politik Thaksin.
Namun, penyertaan Pheu Thai dalam kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri konservatif, Anutin Charnvirakul masih membuka ruang kepada kemungkinan kebangkitan semula Thaksin dalam politik. – AFP

