Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan bahawa isu penghinaan terhadap agama Islam dan institusi Raja-Raja Melayu perlu ditangani secara tegas, adil dan berhikmah.
Menurut Zahid, ia bagi memastikan maruah agama, institusi negara serta keharmonian nasional terus terpelihara.
Jelasnya, keresahan masyarakat Melayu ketika ini semakin mendalam apabila kesucian Islam dan kewibawaan institusi Raja-Raja Melayu berulang kali disentuh secara terbuka menerusi pelbagai isu yang mencetuskan sensitiviti rakyat.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata antara isu yang menimbulkan kegusaran ialah penghinaan terhadap kalimah Allah, jenaka yang memperlekehkan halal, bantahan terhadap laungan azan serta tindakan menghina institusi Raja-Raja Melayu.
“Islam ialah agama Persekutuan dan Raja-Raja Melayu ialah payung kedaulatan negara, maka apabila dua tiang seri ini diganggu, keresahan rakyat tidak boleh dianggap kecil,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Musyawarah Nasional bertemakan “Keresahan Bangsa Melayu: Apakah Penyelesaiannya” di sini hari ini.
Pengasas Musyawarah Nasional itu berkata kebebasan bersuara perlu terus dihormati, namun tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina agama, memperlekehkan institusi Raja-Raja Melayu atau merosakkan asas keharmonian negara.
Zahid dalam pada itu, berkata sudah tiba masanya kerangka perundangan sedia ada dinilai semula dan diperkukuh agar selari dengan cabaran semasa.
Jelasnya, keresahan masyarakat Melayu turut melibatkan aspek ekonomi, pendidikan, perpaduan nasional dan kestabilan politik kaum itu.
Menurutnya, dalam aspek ekonomi, masyarakat Melayu masih belum cukup kuat sebagai pemilik walaupun menjadi kelompok besar pengguna dan pekerja dalam negara.
“Cabaran ini bukan lagi sekadar soal bantuan atau subsidi. Hai ini soal pemilikan aset, penguasaan pasaran, rantaian bekalan dan akses kepada ekonomi masa depan,” katanya.
Mengenai pendidikan, beliau berkata isu kesepadanan antara kelayakan graduan dan keperluan industri perlu diberi perhatian serius selain memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan utama mobiliti sosial generasi muda.
“Realitinya, kira-kira 35.8 peratus atau 1.96 juta graduan lepasan pendidikan tinggi bekerja dalam bidang separa mahir atau pekerjaan berkemahiran rendah yang tidak sepadan dengan kelayakan mereka.
“Hal ini menunjukkan bahawa isu pendidikan bukan lagi sekadar akses kepada universiti tetapi juga kesepadanan antara ilmu, kemahiran dan keperluan industri,” katanya.
Zahid turut menegaskan perpaduan nasional perlu diperkukuh susulan peningkatan sentimen perkauman dan prasangka menerusi media sosial yang boleh menghakis keharmonian masyarakat.
“Keresahan ini juga terlihat apabila isu bahasa, identiti dan warisan negara sering mencetuskan kegelisahan daripada polemik makanan warisan, naratif promosi negara yang kurang menonjolkan akar Melayu-Islam, hinggalah kepada penganjuran festival yang tidak cukup peka terhadap nilai masyarakat setempat,” katanya.
Selain itu, beliau berkata politik Melayu perlu kembali kepada asas penyatuan, adab dan strategi bagi memastikan bangsa Melayu terus mempunyai kekuatan dalam menentukan masa depan negara.
“Politik orang Melayu yang terus dibelenggu dendam, prasangka dan perebutan yang tidak berkesudahan hanya akan mengecilkan kedudukan kita dalam gelanggang sendiri dan Melayu tidak boleh terus ‘menang sorak tetapi kampung tergadai’.
“Politik orang Melayu mesti kembali kepada akal, adab dan strategi bukan sekadar untuk menang pilihan raya, tetapi untuk memastikan bangsa ini terus mempunyai kuasa menentukan masa depannya,” katanya.-11/5/2026

