Tokoh kewangan Islam terkenal Daud Bakar didakwa pecah amanah lebih RM10 juta

Dua pengarah syarikat termasuk seorang tokoh kewangan Islam terkenal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas tujuh pertuduhan melakukan pecah amanah berjumlah RM10.55 juta, tiga tahun lepas.

Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, 62, yang juga bekas Pengerusi Majlis Penasihat Shariah (SAC) Bank Negara Malaysia (BNM) dan Datuk Norliza Tajudin, 54, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketujuh, mereka didakwa bersama-sama sebagai pengarah dan pemegang saham syarikat Energy Eco Sdn Bhd melakukan pecah amanah terhadap wang berjumlah RM400,000, RM500,000, RM900,000, RM2 juta, RM550,000, RM6 juta dan RM200,000.

Wang berkenaan adalah milik Moideen Kunjayu, Koperasi Perumahan Sentul Pasar Kuala Lumpur Berhad, Datuk Dr Mashitah Ibrahim serta Myad Kapital Sdn Bhd.

Kedua-dua tertuduh didakwa secara tidak jujur menggunakan wang itu dengan melanggar kontrak nyata iaitu Shareholder’s Advance Agreement bertarikh 22 Jun 2021, 19 Jan 2022, 1 April 2022, 27 April 2022, 6 Dis 2022, 5 April 2023 dan 12 Mei 2024 membabitkan perniagaan pembuatan sarung tangan patuh syariah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dua bank di Taman Setiawangsa dan Bangsar di Kuala Lumpur antara 22 Jun 2021 dan 15 Mei 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan jumlah jaminan RM100,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

“Bagi Norliza, pihak pendakwaan memohon syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah, tidak membuat sebarang komunikasi berkenaan kes ini dengan saksi-saksi pendakwaan serta melapor diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya sehingga kes selesai,” katanya.

Mahadi berkata Mohd Daud telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 23 Feb lepas dan dikenakan jaminan RM50,000 berserta syarat tambahan menyerahkan pasport serta melapor diri di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sebulan sekali.

“Untuk kes ini jumlah jaminan yang dipersetujui ialah RM100,000. Syarat tambahan pasport dan lapor diri tidak diguna pakai dalam kes ini, namun tertuduh dilarang membuat sebarang komunikasi secara langsung atau melalui pihak ketiga dengan saksi pendakwaan,” katanya.

Pada prosiding hari ini, Mohd Daud diwakili peguam Datuk Hamidi Mohd Noh.

Sementara itu, peguam Zahida Md Zaman yang mewakili Norliza memohon supaya anak guamnya dibenar membayar jaminan secara ansuran iaitu RM50,000 pada hari ini dan baki RM50,000 pada 18 Mei.

Suzana membenarkan Norliza diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan membenarkan jaminan RM50,000 dibayar hari ini dan baki dilunaskan pada atau sebelum 18 Mei.

“Bagi tertuduh Mohd Daud, mahkamah membenarkan jaminan RM100,000 dan dia dilarang membuat sebarang komunikasi secara langsung atau melalui pihak ketiga dengan saksi pendakwaan dalam kes ini. Tarikh 19 Jun ditetapkan untuk sebutan kes,” kata hakim itu.

Pada 23 Feb lepas, Mohd Daud mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan bersubahat menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen. – 11/5/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.