Nampaknya Datuk Seri Rafizi Ramli sudah buat ramai tertunggu-tunggu untuk ikuti pengumuman hala tuju politiknya dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Ini bila bekas Menteri Ekonomi itu telah gambarkan pengumuman pada hari berkenaan ‘agak luar biasa’.
Katanya keputusan untuk mengadakan pengumuman secara terbuka serta menjemput orang ramai hadir menunjukkan ia mempunyai signifikan tersendiri.
Beliau bagaimana pun enggan beritahu apa yang luar biasa itu.
Yang itu kena tunggu hari Ahad. Cuma saya boleh sebut macam inilah… kalau setakat pengumuman-pengumuman biasa, maka saya buat dekat TikTok sajalah.
“Saya dan Nik Nazmi buat keputusan untuk mengadakan pengumuman itu secara terbuka dan saya jemput orang ramai datang, maksudnya ia bukan pengumuman politik biasa-biasa. Ia agak luar biasa… luar biasa.”
Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli bercakap kepada pemberita semasa hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini untuk menyambung keterangan berhubung siasatan kes melibatkan kontrak kerajaan bernilai hampir RM1.1 bilion.
Rafizi berkata terpulang kepada masing-masinglah untuk buat andaian.
Beliau menilai ada kelebihan kepada seorang ahli politik macam dirinya untuk memastikan orang ramai dan pihak media terus tertanya-tanya sampai hari Ahad.
“Jadi, kemahirannya adalah memastikan orang ramai terus tertanya-tanya dan membuat spekulasi,” ujarnya.- 14/5/2026
Rafizi dan Nik Nazmi jawab teka teki hala tuju politik mereka 17 Mei ini
Teka teki mengenai hala tuju bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden Nik Nazmi Nik Ahmad sudah sekian lama jadi buah mulut.
Apakah mereka akan sertai mana-mana parti politik atau tubuh parti baru atau tanding atas tiket bebas pada pilihanraya umum ke 16 nanti?
Semua soalan ini mengenai bekas Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Pandan dan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa itu akan terjawab pada 17 Mei ini.
Kedua mereka akan buat pengumuman dalam satu majlis di PJ Performing Arts Centre pada hari itu.
Jemputan ke majlis itu dimaklumkan oleh Setiausaha Akhbar Rafizi, Farhan Iqbal menerusi jemputan kepada media pada Rabu.
Jemputan tersebut turut disertakan mesej Rafizi yang menyatakan tempoh setahun lalu memberi ruang kepada kedua-dua bekas menteri itu mengambil kira pelbagai pandangan, pertimbangan dan faktor bagi memutuskan hala tuju politik seterusnya.- 13/5/2026

