Lebih 10 juta pelancong melawat Malaysia suku pertama 2026

Malaysia mencatat pencapaian baharu dalam sektor pelancongan pada suku pertama 2026, apabila menerima lebih 10.6 juta pelawat antarabangsa, angka tertinggi pernah direkodkan bagi tempoh tersebut. Malah, Malaysia juga merekod tahun kedua berturut-turut melepasi 10 juta ketibaan pelancong dalam tempoh tiga bulan pertama 2026. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata negara itu menerima lebih 10.6 juta pelancong antarabangsa antara Januari dengan Mac 2026, meningkat 5.4 peratus berbanding tempoh sama pada 2025. Angka itu melepasi rekod sebelumnya iaitu 10.1 juta ketibaan pelancong. Beliau berkata sebelum pandemik Covid-19, Malaysia tidak pernah melepasi paras 10 juta dalam suku pertama, dengan ketibaan pada tempoh sama pada 2019 hanya mencatat sekitar sembilan juta pelancong. Tiong berkata pertumbuhan itu banyak dipacu oleh permintaan perjalanan sempena Tahun Baharu Cina, khususnya dari China, selain peningkatan penerbangan ke Malaysia. Menurut beliau, Malaysia turut merekodkan angka ketibaan pelancong bulanan tertinggi pada Februari 2026, apabila ketibaan antarabangsa mencecah 3.47 juta. Ia merupakan kali pertama ketibaan bulanan melepasi paras tiga juta, didorong oleh perjalanan musim perayaan serta peningkatan kekerapan penerbangan antara Malaysia dengan China. Sepanjang tempoh itu, syarikat penerbangan termasuk China Eastern Airlines dan Shanghai Airlines meningkatkan laluan antara kededua negara, daripada 82 kepada 106, manakala jumlah penerbangan meningkat kepada 424 sepanjang tempoh perjalanan. Langkah itu membantu dalam melonjakkan ketibaan pelancong dari China sempena Tahun Baharu Cina kepada 604,675 orang. China kekal sebagai pasaran pertumbuhan paling kukuh Malaysia pada suku pertama, menyumbang tambahan kira-kira 280,000 pelancong berbanding tempoh sama pada 2025. Tiong berkata ketibaan dari China meningkat 25.2 peratus tahun ke tahun, menjadikannya penyumbang terbesar kepada pertumbuhan pelancongan negara, manakala Australia mencatat pertumbuhan dua digit sebanyak 11.4 peratus. “Secara keseluruhan, 12 pasaran sumber utama menyumbang lebih 100,000 pelawat setiap satu dalam suku pertama. “Bagaimanapun, beberapa pasaran mencatat penurunan termasuk Indonesia (3.3 peratus), India (1.5 peratus) dan Korea Selatan (3.1 peratus),” katanya dalam satu kenyataan. Tiong berkata Asean kekal sebagai rantau sumber pelancongan terbesar Malaysia dengan jumlah ketibaan meningkat lebih 350,000 pelancong dalam tempoh itu. Dalam kalangan negara Asean, hanya Indonesia dan Vietnam mencatat penurunan, dengan Vietnam merosot 11.6 peratus, manakala negara anggota lain mencatat pertumbuhan antara 3.5 dengan 54.3 peratus. Malaysia turut melepasi satu lagi pencapaian apabila ketibaan pelancong Eropah melebihi 500,000 orang untuk kali pertama dalam suku pertama. Walaupun mencatat pertumbuhan keseluruhan, Tiong mengakui ketegangan geopolitik di Timur Tengah mula memberi kesan terhadap aliran pelancongan menjelang akhir Mac. Beliau berkata gangguan bekalan bahan api dan perubahan laluan penerbangan meningkatkan kos operasi syarikat penerbangan, sekali gus menaikkan harga tiket dan menyebabkan beberapa pembatalan penerbangan. Namun begitu, Tiong menyifatkan prestasi suku pertama sebagai menggalakkan, dengan enam daripada sembilan rantau pelancongan mencatat pertumbuhan, disokong oleh penambahan penerbangan antarabangsa termasuk 20 laluan antarabangsa baru.-14/6/2026
This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.