“Dunia sekarang, semuanya nak kaitkan dengan politik,” Itu antara reaksi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pihak tertentu yang terus pertkai pengiktirafan kerajaan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang diumumkan semalam.
Menurutnya kenyataan telah dikeluarkan semalam (Khamis) bahawa Kabinet bersetuju dengan syarat pemegang UEC perlu lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.
“Jadi, kita beri ruang walaupun mungkin memerlukan beberapa kursus perguruan kerana sebelum ini perkara itu tidak dipersetujui. Namun, apabila sekolah-sekolah Cina menerima syarat tersebut, kita (kerajaan) turut menerimanya dengan baik,” katanya.
Beliau mengingatkan keputusan tersebut telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
Perdana Menteri kata pengiktirafan kerajaan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu(UEC) tidak sepatutnya dipolitikkan dan dijadikan isu oleh mana-mana pihak.
Anwar ditemui wartawan selepas merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Kebangsaan di Seremban pada Jumaat.
Beliau menjelaskan syarat berkenaan bukan sahaja terpakai kepada pemegang UEC, malah turut dikenakan kepada pelajar sekolah agama Arab, sekolah menengah, institusi tahfiz dan sekolah antarabangsa yang melibatkan pelajar Malaysia.
Tambahnya, buat masa ini semua syarat-syarat tersebut diterima, namun ada beberapa perincian yang sedang dibincangkan.
Media pada Khamis melaporkan, calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.
Bagi calon lepasan SMPC/UEC, antara program dikenal pasti ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.
Mesyuarat Jemaah Menteri turut bersetuju bahawa calon daripada aliran terbabit yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta diperakui KPM boleh dipertimbangkan untuk mengikuti program tertentu di IPTA.
Semua permohonan akan diproses berdasarkan prinsip meritokrasi, syarat kelayakan akademik serta tertakluk kepada ketetapan dan keputusan Senat Universiti.
Sementara itu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mempertahankan keputusan kerajaan membuka peluang kepada lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) mengikuti program tertentu di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), sambil menegaskan peluang sama turut diberikan kepada pelajar tahfiz.
Katanya berkata usaha memperluas akses pendidikan tidak sepatutnya dipolitikkan kerana matlamat utama kerajaan adalah memastikan lebih ramai pelajar dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Saya rasa pelik mengapa ada pihak membantah komitmen kerajaan ini. Mereka membantah orang untuk mendapat akses pendidikan. Kita mahu menambah akses pendidikan supaya anak-anak mendapat pendidikan lebih baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Stesen Segambut Utara di Segambut, hari ini.
Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, bantahan terhadap dasar itu seolah-olah menafikan hak golongan muda untuk menyambung pengajian, sedangkan kerajaan sedang berusaha membuka lebih banyak ruang pendidikan kepada semua aliran.
Isu tercetus selepas Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa pengumuman kerajaan yang menggabungkan kategori lepasan tahfiz dan UEC sebagai satu “silap mata” untuk membolehkan pelajar UEC memasuki universiti awam secara halus.
Ahmad Fadhli turut mempersoalkan keperluan kerajaan mengeluarkan kenyataan khusus mengenai lepasan tahfiz kerana menurutnya, golongan itu sebelum ini tidak pernah berdepan masalah melanjutkan pengajian ke IPTA atau institusi pengajian tinggi swasta.- 15/5/2026

