TAHUKAH ANDA
Iktiraf UEC: Hassan Karim gesa Fadhlina, Zambry letak jawatan
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dari UMNO dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dari PKR disaran melepaskan jawatan masing-masing susulan keputusan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kedua-duanya perlu meletakkan jawatan mereka masing-masing kerana gagal menentang keputusan Kabinet Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang telah meluluskan keputusan mengiktiraf Peperiksaan UEC sebagai satu laluan ke institut pengajian tinggi awam (IPTA).
Katanya, Menteri Pengajian Tinggi dan Menteri Pendidikan sepatutnya mempertahankan Dasar Pendidikan Nasional dan segala berhubungan dengannya dalam soal saluran kemasukan ke IPTA di Malaysia.
“Kegagalan dua orang menteri dari UMNO dan PKR ini yang menjaga amanah bangsa untuk mempertahankan Dasar Pendidikan Negara dalam isu pengiktirafan peperiksaan UEC ini tidak boleh dimaafkan.
“Mereka berdua perlu meletakkan jawatan dengan segera,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta SMPC atau UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).
Langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.-16/5/2026

