Kerugian penipuan ‘online’ cecah RM2.77 bilion

Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperhebat pelaksanaan Kempen Internet Selamat di seluruh negara susulan peningkatan ketara kes penipuan dalam talian yang mengakibatkan kerugian mencecah RM2.77 bilion tahun lalu. Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan membimbangkan berbanding RM1.28 bilion pada 2023 dan RM1.57 bilion pada 2024. Kata beliau, penipuan pelaburan tidak wujud dikenal pasti sebagai kerugian terbesar dialami mangsa. “Kebanyakan mangsa mudah terpedaya apabila ditunjukkan keuntungan palsu pada peringkat awal pelaburan sebelum mereka diminta memasukkan wang dalam jumlah lebih besar. “Pada permulaan, mangsa akan nampak keuntungan dalam akaun mereka, sebagai contoh pelaburan RM1,000 kononnya meningkat menjadi RM3,000, sekali gus membuatkan mereka terus menambah simpanan sehingga mengalami kerugian besar,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir hadir Program Santuni Komuniti bersama platform e-dagang Shopee di Felda Bukit Permai, di sini hari ini. Berkenaan kempen berkenaan, Nie Ching berkata ia dilaksanakan mengikut kesesuaian kumpulan sasaran bagi memastikan kesedaran digital dapat disampaikan secara lebih berkesan. Katanya, di peringkat sekolah rendah, fokus diberikan kepada isu buli siber, manakala komuniti di Felda, kampung dan kawasan perumahan diberi pendedahan berkaitan ancaman penipuan dalam talian. “Bagi pelajar sekolah menengah dan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pula, mereka didedahkan mengenai risiko penipuan tawaran pekerjaan serta bahaya penggunaan akaun keldai,” katanya. Sehingga 30 April lalu, Kempen Internet Selamat telah dilaksanakan di 10,134 institusi pendidikan termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah menengah, Institut Pendidikan Guru dan IPT melibatkan hampir 900,000 peserta.-16/5/2026
This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.