Sehari menjelang Konvensyen Pakatan Harapan di Johor Bharu esok,Ahad…Pengerusi Barisan Nasional Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi petang Sabtu umum BN akan bertanding solo dan letak calon di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihanraya Negeri itu ke 16 nanti.
Beliau membuat pengumuman berkenaan menerusi satu kenyataan yang sekaligus menamatkan tandatanya mengenai kerjasama dengan PH untuk hadapi PRN itu.
Pada PRN Johor ke-15 pada Mac 2022, BN membentuk kerajaan negeri apabila menang 40 daripada 56 kerusi DUN.
PH pula menang 12 kerusi, dengan 10 dimenangi DAP, selain PKR dan AMANAH masing-masing satu kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) menang tiga, manakala Muda satu.
DUN Johor dijangka terbubar secara automatik pada 21 April tahun depan.
Ini bermakna PRN Johor ke-16 perlu diadakan selewat-lewatnya sekitar Jun 2027, sekiranya pembubaran berlaku secara automatik.
Onn Hafiz kata keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan pucuk pimpinan parti serta setelah mengambil kira pandangan dan suara rakyat Johor.
“Selepas berbincang dengan pucuk pimpinan parti, saya dengan rasa penuh insaf dan tanggungjawab menyatakan bahawa Barisan Nasional Johor akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Negeri akan datang.
“Bagi UMNO dan BN Johor, pendirian untuk bertanding di 56 kerusi DUN adalah tawaran yang jelas kepada rakyat bahawa kami bersedia untuk terus membentuk sebuah kerajaan yang stabil, kuat dan berkhidmat sepenuhnya kepada pembangunan negeri serta kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya.- 16/5/2026

