PRN Melaka dalam tempoh empat bulan – Ab Rauf

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka diadakan dalam tempoh empat bulan akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata, pilihan raya itu tidak sesuai diadakan terlalu hampir dengan tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir pada Disember kerana waktu berkempen dijangka bertembung dengan Ramadan dan Aidilfitri.

“Jadi, kita cuba melihat waktu yang sesuai dalam tempoh 120 hari dan kita akan tengok juga keupayaan kita untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh tersebut serta kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku.

“Kita akan tengok nanti keadaan yang sesuai, yang baik untuk dilaksanakan pilihan raya negeri ini. Yang pastinya dalam tempoh 120 hari,” katanya selepas Majlis Makan Malam Sireh Pulang ke Gagang di Tanjung Bidara, Masjid Tanah.

Ditanya sama ada UMNO Melaka akan bertanding secara solo sebagaimana diputuskan oleh UMNO Johor, Datuk Seri Ab Rauf berkata perkara itu masih belum dimuktamadkan.

“Hal itu kita tak fikirkan lagi sama ada solo ataupun kita bersama (dengan parti lain), kita akan tunggu masa sesuai untuk buat pengumuman.

“Kita dah mula gerak kerja sejak tahun lepas lagi dan insya-Allah, melihat daripada penerimaan masyarakat, kerajaan negeri ini merupakan satu kerajaan yang menjadi pilihan utama mereka,” katanya.

Dalam majlis itu, seramai 190 individu daripada Parlimen Masjid Tanah menyerahkan borang keahlian untuk menyertai UMNO menerusi Rumah Bangsa.

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.