Perhatian kini turut bertumpu pada Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz,ekoran ‘Langkah Rafizi-Nik Nazmi’ letak jawatan Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa untuk sertai Parti Bersama Malaysia pada Ahad lalu.
Bukan rahsia lagi bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan kini pegang jawatan sebagai Penasihat Kanan Politik di pejabat Perdana Menteri kebelakangan ini cukup ligat main di kawasan Pandan.
Berbagai acara dihadirinya dan sana sini kelibatnya kelihatan.
Malah sewaktu Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Johor Bahru pada Ahad lalu beliau atur pertemuan bersama pimpinan PKR kawasan Pandan dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.{GAMBAR ATAS}
Di situ Perdana Menteri mengingatkan seluruh anggota PKR Pandan supaya terus mengekalkan kesatuan, memperkukuh gerak kerja jentera serta memastikan parlimen itu kekal menjadi kubu parti itu.
“Dalam pertemuan ini, pimpinan Pandan menyatakan kesetiaan kepada parti serta komitmen untuk memperkukuh gerak kerja di Cabang Pandan,” Zafrul dipetik sebagai berkata.
Spekulasi politik dan gerak geri Zafrul kebelakangan ini dilihat sudah letak beliau sebagai orang yang pasti akan dipasang berentap dengan Rafizi di kerusi Parlimen Pandan.
Tarafnya dikatakan agak setara dengan Rafizi.
Sekalipun lebih dikenali sebagai seorang teknokrat dari seorang ahli politik dalam kerajaan dulu,bekas CEO Cimb Bank ini sudah tentu cukup sedia maklum tugas besar dan cabaran yang bakal beliau hadapi.
Ada yang melihat Zafrul masih teraba-raba dalam politik selepas tewas di kerusi Parlimen Kuala Selangor kemudian bergiat di UMNO Bahagian Kota Raja,Klang dan seterus keluar UMNO untuk masuk PKR.
Kata orang kalau selak saja sejarah Rafizi di Pandan…fakta di depan mata awal-awal boleh bikin pencabar bekas Timbalan Presiden PKR dan bekas Menteri Ekonomi itu ‘kurang sedap badan’.
Rafizi melangkah masuk ke Pandan pada pilihanraya umum 2013 dengan menewaskan otai hebat dan bekas Presiden MCA Datuk Ong Tee Keat yang cukup berpengaruh di kawasan itu.
Rafizi menang dengan majoriti 26,729 undi.
Pada pilihanraya umum 2018 beliau tidak bertanding kerana masalah kes mahkamahnya.
Datuk Seri Wan Azizah Ismail bertanding dan menang.
Rafizi kembali bertanding di Pandan pada pilihanraya umum ke 15 dan menang besar dengan majoriti 48,000.
Berasaskan latar belakang yang ramai orang kata bunuh diri kalau nak lawan Rafizi di Pandan.
Ini yang membuatkan kalangan pemerhati politik duga Zafrul kena pandai ‘bersilat” dan mengatur langkah.
Ikut desas desus yang berlegar selain kawasan Parlimen Pandan,Zafrul juga dikatakan akan bertanding salah satu kawasan Dewan Undangan Negeri di Ampang.
Beliau dikatakan mungkin dilantik sebagai Menteri Besar Selangor gantikan Datuk Seri Amiruddin Saari yang akan dibawa ke pusat.
Apapun kata orang dalam politik tiada yang mustahil.
Ada penganalisis mengingatkan jangan lupa dulunya Rafizi bertanding dibawah payung besar yakni PKR dan Pakatan Harapan.
Waktu itu segalanya tersedia.Lagipun beliau adalah pengatur strateji PKR.
Kini platform beliau cuma parti ciput yakni Parti Bersama Malaysia yang didaftarkan di Pulau Pinang tahun 2016 lalu.
Tiada siapa kenal parti Bersama atau tahu mengenai kewujudanya sebelum ini sehingga Rafizi dan Nik Nazmi buat pengumuman di sebuah dewan di Petaling Jaya petang Ahad.
Untuk perkuat hujah ada yang bawa masuk kisah Datuk Zuraida Kamaruddin yang tewas teruk di bekas kawasannya di Parlimen Ampang pada pilihanraya umum ke 15 lalu selepas keluar PKR.
Sedangkan beliau yang juga bekas Ketua Wanita PKR sebelum itu adalah Ahli Parlimen kawasan berkenaan sejak tahun 2008.
Antara yang jadi buah mulut ramai Zuraida kelihatan terpaksa berlegar bersorak sorak tepi jalan di Ampang untuk tarik perhatian orang semasa kempen pilihanraya umum ke 15.
Ini kerana dikatakan ketiadaan jentera seperti masa beliau dalam PKR dulu.
Kalah menang Rafizi di Pandan nanti sudah tentu mempunyai implikasi politik nasional yang besar.
Apakah Zafrul boleh jadi ayam tambatan sebagai ‘giant killer’ itu.? – 19/5/2026

