MCMC perkukuh kerjasama strategik perangi penipuan dalam talian

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperluas kerjasama antarabangsa dalam usaha memerangi penipuan dalam talian menerusi memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani bersama Global Anti-Scam Alliance (GASA).

Menurut MCMC, ia turut memberi fokus kepada perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik, pembangunan kapasiti, advokasi serta pemerkasaan kesedaran awam berkaitan ancaman scam digital.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan MCMC dalam memperkukuh keupayaan negara menangani ancaman penipuan dalam talian.

“Selain itu menyokong usaha kerajaan membina ekosistem digital yang lebih selamat, dipercayai dan berdaya tahan,” jelasnya dalam kenyataan.

MoU itu dimeterai menerusi Inter-Agency Retreat on Combatting Online Scam 2026 yang berlangsung di The Vertical, Connexion Conference & Event Centre (CCEC).

MCMC diwakili Pengarah Urusan, Abdul Karim Fakir Ali dengan Global Anti-Scam Alliance (GASA) diwakili Penasihat (Asia Tenggara), Rajeshpal Singh Sandhu.

Majlis penutupan pemukiman berkenaan dirasmikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Permukiman selama tiga hari bermula 22 Mei itu merupakan anjuran MCMC dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, bertujuan memperkukuh usaha membanteras jenayah penipuan dalam talian.

Program ini turut disertai pelbagai agensi dan pihak berkepentingan utama termasuk Jabatan Peguam Negara (AGC); Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Selain itu Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC); Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA); CyberSecurity Malaysia (CSM), syarikat telekomunikasi, institusi kewangan, penyedia platform digital dan badan kawal selia serta pemain industri.

Antara pengisian sepanjang permukiman ini termasuk meningkatkan kerjasama perkongsian maklumat serta memperkemas tindakan bersepadu dalam menangani ancaman penipuan dalam talian yang semakin kompleks dan merentas pelbagai platform digital.

Pelbagai isu dibincangkan termasuk trend dan modus operandi scam semasa, cabaran penguatkuasaan dan perundangan, penggunaan analitik data serta usaha memperkukuh kesedaran awam secara berterusan.

Fokus turut diberikan kepada pengukuhan kerjasama antara agensi dan industri bagi menangani penyalahgunaan saluran komunikasi serta platform digital seperti panggilan dan SMS penipuan, pautan memudaratkan, penyalahgunaan nombor telefon, akaun bank keldai, penipuan pelaburan serta tawaran pinjaman tidak wujud.-25/5/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.