Banjaran Nakawan iaitu banjaran batu kapur tertua dan terpanjang di Malaysia, yang menganjur sepanjang 36 kilometer merentasi sempadan antarabangsa antara negeri Perlis dan Wilayah Satun, Thailand.
Diiktiraf sebagai komponen geologi utama dalam Perlis Geopark, banjaran berketinggian purata ini digelar sebagai “Nadi Bumi Perlis” kerana peranannya yang kritikal dalam ekosistem dan warisan negeri.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, segala usaha pemuliharaan dan pembangunan lestari yang dilaksanakan mampu membawa manfaat berpanjangan kepada rakyat serta mengangkat negeri Perlis sebagai destinasi ekopelancongan bertaraf dunia.
Titah ucapan Tuanku Raja Perlis dibacakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang mewakili baginda sempena Majlis Pelancaran Penerbitan dan Dokumentari ‘NAKAWAN – Nadi Bumi Perlis’ yang berlangsung di Kangar.
Usaha dokumentasi itu juga memainkan peranan penting bagi memastikan warisan ilmu dan kisahnya terus direkodkan serta diwariskan kepada generasi
masa hadapan.
Dokumentari yang diterbitkan Roots & Shoots Malaysia, menelusuri perjalanan sepanjang 36 kilometer banjaran batu kapur tertua di Malaysia bermula dari Wang Kelian hingga ke Kuala Perlis.
Ia turut memaparkan siri penceritaan menyentuh kehidupan masyarakat setempat, tradisi warisan, serta keunikan landskap semula jadi yang subur di sekitar Banjaran Nakawan.
Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.-25/5/2026

