Malaysia harap rundingan AS–Iran wujud kestabilan di Asia Barat

Malaysia menyatakan harapan agar rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran ke arah pembentukan rangka perjanjian damai dapat dimuktamadkan secara konstruktif demi kestabilan rantau Asia Barat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menerima petunjuk positif daripada pemimpin-pemimpin di Asia Barat bahawa proses rundingan dilihat semakin positif, termasuk usaha ke arah pembukaan semula Selat Hormuz.

“Saya telah menerima isyarat yang menggalakkan daripada pemimpin di Asia Barat bahawa rundingan ke arah rangka perjanjian antara AS dan Iran.

“(Ia) termasuk pembukaan semula Selat Hormuz, sedang bergerak ke arah yang lebih baik. Saya melihat perkembangan ini dengan penuh optimisme,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas Perdana Menteri, Malaysia turut mengambil maklum peranan konstruktif beberapa negara serantau termasuk Bahrain, Mesir, Jordan, Oman, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Türkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam memudahkan proses rundingan berkenaan.

“Kami juga mengalu-alukan penglibatan peribadi Presiden Donald Trump dalam mencapai hasil yang dirundingkan.

“Kami berharap semua pihak akan merebut peluang ini dan membawa rundingan ini sehingga mencapai kesimpulan yang berjaya,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu Anwar menegaskan kesediaan Malaysia untuk memainkan peranan dalam mana-mana usaha pelbagai hala yang bertujuan mencapai keamanan dan kestabilan berkekalan di Asia Barat.-25/5/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.