3R: Kerajaan tuntut tanggungjawab platform media sosial

Meskipun Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedia ada dianggap masih memadai, kawalan keselamatan siber kini dialihkan sepenuhnya kepada tanggungjawab dan tadbir urus platform media sosial.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan telah memperketat langkah tersebut melalui pengenalan dua kod khusus pada 22 Mei lalu bagi menjamin keselamatan kanak-kanak dalam talian, sekali gus menetapkan garis panduan ketat yang perlu dipatuhi oleh semua penyedia platform.

Jelas beliau, pihaknya mengesan kewujudan banyak akaun palsu yang diwujudkan khusus untuk menghasilkan dan menyebarkan kandungan berunsur 3R (Raja, Agama dan Institusi Diraja), sebelum akaun tersebut ditutup semula.

“Kita melihat banyak akaun palsu diwujudkan khusus untuk menghasilkan kandungan berkaitan 3R. Selepas kandungan itu disebarkan, akaun berkenaan terus ditutup. Ini menunjukkan wujud elemen jenayah, umpama tindakan ‘melempar batu sembunyi tangan’.”

“Dalam hal ini, pihak berkuasa akan meneliti respons daripada platform media sosial. Sebahagian platform seperti TikTok telah menerima notis tuntutan (notice of demand) daripada MCMC, manakala platform lain termasuk Meta dikesan memberikan kerjasama yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan sambutan Festival Belia@Hari Belia Negara 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan di Pavilion Bukit Jalil, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac dan Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP), Khairul Rizal Datuk Abu Samah.

Mengulas lanjut, Fahmi menegaskan bahawa perhatian kerajaan kini bukan sahaja tertumpu kepada kandungan sensitif, tetapi juga kepada trend peningkatan akaun palsu yang menyalahgunakan imej serta nama institusi diraja dan kerabat diraja.

“Saya melihat trend ini semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Perhatian kita bukan sahaja terhadap kandungan, tetapi juga isu akaun palsu yang cuba menyamar (impersonator accounts) dengan menggunakan nama serta imej Raja-Raja Melayu dan kerabat diraja.”

“Di sinilah pihak platform perlu memainkan peranan penting untuk mengekang akaun-akaun palsu seumpama itu daripada terus berleluasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menuntut agar pihak pengurusan platform media sosial terlibat mengemukakan penjelasan segera mengenai langkah konkrit yang akan diambil mereka bagi membendung insiden penyebaran kandungan tersebut.-25/5/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.