Kini sudah tiada teka teki lagi…setelah pada 16 Mei lalu Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz buat kejutan isytihar bahawa BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi negeri secara solo…hari ini beliau umum Dewan Undangan Negeri Johor dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Mengikut peruntukan undang-undang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh sehingga 60 hari selepas pembubaran DUN untuk mengadakan PRN.
Ini bermakna PRN Johor ke-16 perlu diadakan selewat-lewatnya sekitar Jun 2027 sekiranya pembubaran berlaku secara automatik.
Dalam satu sidang media khas di kediaman rasminya di Saujana, di sJohor Bharu petang ini Onn Hafiz berkata pembubaran DUN itu dilakukan setelah menghadap dan mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pagi ini.
Pada PRN Johor ke-15 pada Mac 2022, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala PKR dan AMANAH masing-masing satu kerusi.
Perikatan Nasional (PN) memenangi tiga kerusi, sementara Muda memperoleh satu kerusi.
Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor berkata pembubaran tersebut dibuat selepas mengambil kira keperluan untuk mendapatkan mandat baru daripada rakyat bagi memastikan kestabilan kerajaan negeri.
“Keputusan ini dibuat dengan niat untuk memastikan rakyat bangsa Johor terus memiliki sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh.
“Saya menyeru kepada semua parti politik, pemimpin dan penyokong agar menghadapi proses demokrasi ini dengan penuh adab, tertib dan berhemah.
“Sama-samalah kita menjaga keharmonian dan permuafakatan bangsa Johor,” katanya.-1/6/2026

