Pilihanraya kerajaan tempatan…UMNO WP bersuara

Umno Wilayah Persekutuan tampil bersuara dalam isu pilihanraya kerajaan tempatan dengan mengingatkan DAP adanya pilihanraya itu menandakan fungsi Ahli Parlimen tidak efektif.
Ini,katanya kerana ada pertindihan peranan di antara Ahli Parlimen dengan ahli PBT yang dipilih.
Ia juga berpendapat pembaziran wang rakyat sebagai salah satu sebab mengapa pilihan raya itu perlu ditolak.
“Umno Wilayah Persekutuan berpendapat adalah lebih baik peruntukan untuk pemilihan ahli-ahli PBT disalurkan untuk pembangunan, kebajikan dan kemudahan demi rakyat Wilayah Persekutuan yang lebih memerlukan seperti menambah baik infrastruktur, pembinaan rumah mampu milik, menaik taraf pusat-pusat penjaja atau medan selera, meningkatkan kemudahan pengangkutan awam dan sebagainya,” katanya.
Menerusi satu kenyataan pada Isnin UMNO Wilayah Persekutuan mengingatkan DAP supaya tidak mengulangi cadangan untuk mengadakan semula pilihan raya itu.
Katanya mereka telah mengadakan mesyuarat khas baru-baru ini dan mengambil ketetapan untuk membantah sekeras-kerasnya cadangan berkenaan.
“Selain itu, Umno Wilayah Persekutuan berpendapat pemilihan ahli-ahli PBT akan mewujudkan kartel-kartel politik yang akhirnya akan membiayai calon-calon yang ingin bertanding dalam pilihan raya PBT.
“Amalan rasuah dan salah guna kuasa pasti akan berlaku yang sudah semestinya akan merencatkan usaha YAB PMX dalam membanteras gelaja rasuah di kalangan masyarakat Malaysia,” katanya.
Isu pilihan raya kerajaan tempatan kembali diperkatakan selepas Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Tan Kok Wai mencadangkan perkara itu pada 17 Disember lalu.- 26/12/2023