Sunday - 22, December 2024

Pasar Jalan Pasola kembalikan nostalgia Melayu klasik

Share

TEMA busana Melayu lama serta alunan lagu-lagu tradisional Melayu menarik kedatangan pengunjung ke pasar jalanan yang terletak di Jalan Pasola, Parit Buntar, setiap hujung minggu.

Tidak hanya pemilik gerai yang memperagakan busana tersebut, malah para pengunjung juga digalakkan berbuat demikian bagi membangkitkan suasana klasik nostalgia silam.

Penganjur program Amirul Nizar Rozay, 32, berkata pasar berkonsepkan ‘pop-up store’ atau ruang runcit yang dibuka untuk jangka waktu sementara itu, mula dibuka awal Disember lepas dengan kerjasama beberapa pihak termasuk Majlis Daerah Kerian (MDK).

“Saya bersama lima lagi rakan mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk merangka pelan dan kertas kerja bagi memastikan penganjuran pasar jalanan ini berjaya dan mampu meyakinkan MDK.

“Alhamdulillah, sejak dibuka awal Disember lalu, lebih 5,000 pengunjung dari seluruh pelusuk negeri Perak termasuk Pulau Pinang, Kedah dan juga Perlis hadir memeriahkan pasar ini,” katanya.

Amirul Nizar yang berasal dari Bukit Mertajam menjelaskan idea asal untuk mewujudkan pasar tersebut tercetus kerana ingin mengembalikan kemeriahan lokasi tersebut sepertimana lebih 20 tahun dahulu.

“Di era 90-an hingga awal 2000, kawasan ini adalah tempat tumpuan penduduk sekitar Parit Buntar untuk mendapatkan barangan keperluan harian, namun sejak pekan baru Parit Buntar dibuka tumpuan orang ramai beralih ke sana,” katanya.

Justeru dengan tema Melayu Klasik, yang diperkenalkan di pasar malam yang beroperasi pada 5 petang hingga 12 tengah malam itu, orang ramai kembali teruja berkunjung ke situ yang menempatkan 70 gerai.

Amirul Nizar berkata terdapat pelbagai juadah istimewa yang dijual di situ seperti kuih dangai, tepek pisang, putu piring, ubi kayu rebus, makanan tradisional masyarakat Banjar, kopi yang dimasak atas dapur arang, makanan ringan di zaman pertengahan 90-an dan sebagainya.

“Bagaimanapun kami sentiasa pantau produk yang dijual supaya kualitinya sentiasa pada tahap terbaik dan sekiranya peniaga tidak dapat tepati kriteria itu, kami akan keluarkan mereka dari tapak sewaan,” katanya.

Amirul Nizar berkata kadar sewaan bergantung kepada keluasan saiz tapak bermula dari RM60 hingga RM150 sehari dan setiap tapak yang disewa oleh pengusaha gerai tidak bersifat kekal serta berubah pada setiap minggu bagi membangkitkan kemeriahan di samping menghilangkan rasa jemu para pengunjung.

“Istimewa untuk pengunjung, penyanyi tersohor negara Datuk Jamal Abdillah akan mengadakan persembahan sempena ambang tahun baharu di pasar tersebut.

“Ini antara perancangan awal kami bagi meningkatkan jumlah kehadiran pengunjung dan jika berjaya, artis undangan lain akan dijemput untuk mengadakan persembahan pada setiap minggu,” katanya.

Sementara itu, bagi penjual kuih dangai, Mohd Zikri Mohd Zabidi, 24, yang telah berkecimpung lebih tujuh tahun dalam pembuatan kuih tersebut berkata sambutan para pengunjung digerainya begitu menggalakkan.

“Kalau perisa asli, biasanya golongan ‘orang lama’ yang suka beli di sini. Jadi, untuk menarik kanak-kanak mencuba kuih tradisional ini, saya tampilkan dua perisa berbeza iaitu coklat dan susu,” katanya yang turut optimis dengan usaha penganjur memperkenalkan elemen klasik di pasar itu, ia akan terus menjadi tumpuan ramai dan sekali gus menjana pendapatan peniaga.

Bagi pengunjung Suzanna Ariff, 31, berkata dia mengetahui tentang penganjuran pasar berkenaan melalui medium media sosial.

Ibu kepada dua cahaya mata dan berasal dari Gurun, Kedah itu menjelaskan kelainan serta keunikan menjadi faktor yang menyebabkan dirinya terpanggil untuk mengunjungi pasar tersebut.–Bernama

Read more

khabar terbaru