Bubar DUN Johor bukan sandiwara politik – Zahid Hamidi

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menepis dakwaan pihak tertentu yang menyifatkan langkah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun lalu sebagai satu ‘sandiwara politik’.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, tindakan berkenaan diambil demi mengembalikan mandat mutlak kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan yang stabil, berbanding terus kekal di singgahsana kuasa demi keselesaan peribadi.

Malah, Ahmad Zahid berkata, proses pembubaran DUN ialah perkara yang tidak dapat dielakkan dalam sistem demokrasi, sama ada cepat atau lambat.

Malah, beliau berkata, langkah serupa turut diambil oleh pentadbiran negeri lain termasuk Negeri Sembilan selepas pembubaran DUN Johor, sekali gus membuktikan tindakan itu bukan agenda politik sebelah pihak semata-mata.

“Rakyat Johor ialah hakim tertinggi dalam demokrasi. Mereka berhak menentukan kerajaan yang mereka mahu, memilih kerajaan yang mampu memberi kestabilan, serta menilai siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang hanya pandai menabur janji,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang ke-16, di Iskandar Puteri, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri Dr SA Vigneswaran; dan Presiden Parti Progresif Penduduk, Datuk Dr Loga Bala Mohan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menempelak pihak pembangkang yang pernah dilapor menyatakan UMNO dan BN akan mati serta terkubur di bumi Johor.

“Yang mahu menjadikan Johor sebagai tapak kuasa, kini sibuk mempertahankan sisa pengaruh. Yang dulu mendabik dada mahu menumbangkan kita, hari ini berdepan keretakan sesama mereka.

“Ingatlah, Johor bukan tempat mencuba nasib. Johor bukan tempat menumpang pengaruh. Johor bukan medan eksperimen politik dendam. Parti yang lahir daripada pengkhianatan, jangan bercakap soal prinsip,” katanya merujuk kepada pihak pembangkang.-7/7/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.