PAS hantar surat kepada Bersatu, beri cadangan perkukuhkan PN – Muhyiddin

PAS dilaporkan menghantar surat kepada Bersatu berkenaan hubungan di antara kedua-dua buah parti, selain cadangan-cadangan untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN). Perkara itu dinyatakan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sambil menambah ia diutuskan oleh Setiausaha Agung PAS, semalam. “Saya akan memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap cadangan-cadangan tersebut dan membawa perkara ini ke mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk diteliti. “Bersatu mengulangi tekad dan iltizam kami untuk terus memelihara hubungan baik dengan PAS dalam Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Sebelum ini, PAS menyatakan akan menilai semula kerjasama dengan Bersatu susulan beberapa tindakan parti itu yang dilihat melanggar semangat setia kawan parti komponen PN. Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ketetapan itu dibuat susulan siri tindakan Bersatu yang disifatkan kurang menyenangkan partinya.-8/6/2026
This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.