Noh Omar, Syed Hamid kembali bersama UMNO

Dua tokoh veteran UMNO, Tan Sri Noh Omar dan Tan Sri Syed Hamid Albar disahkan kembali menyertai parti tersebut. Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Negeri Johor 2026, hari ini. Kepulangan mereka disambut meriah oleh para penyokong dan pimpinan UMNO yang hadir ke majlis tersebut. “Ada pemimpin yang sangat ternama dari negeri Selangor pun hadir pada hari ini, Tan Sri Noh Omar kita beri tepukan gemuruh. “Seorang lagi pemimpin veteran selamat kembali Tan Sri Syed Hamid ke bumi Johor Darul Takzim,” katanya. Noh digugurkan keahlian daripada UMNO pada Januari 2023 sebelum kemudiannya menyertai Bersatu. Sementara itu, Syed Hamid merupakan antara tokoh kanan UMNO yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan, Menteri Luar Negeri dan Menteri Dalam Negeri serta pernah menjadi Ahli Parlimen Kota Tinggi. Dalam majlis sama, Onn Hafiz turut mengalu-alukan kehadiran bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein selepas penggantungan keahlian beliau ditarik balik. “Tidak lupa juga kepada Ayah Chik saya Datuk Seri Hishammuddin…alhamdulillah berkat perjuangan Datuk Seri (Ahmad Zahid Hamidi) kita semua kembali untuk memenangkan Barisan Nasional,” katanya lagi.-8/6/2026
This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.