MCMC hanya salur aduan, platform tentukan status kandungan

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan secara langsung bagi menurunkan kandungan di media sosial, sebaliknya hanya bertindak menyalurkan aduan kepada platform berkaitan untuk tindakan lanjut.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata setiap platform media sosial mempunyai garis panduan komuniti serta sistem penguatkuasaan tersendiri dalam menentukan sama ada sesuatu kandungan perlu dipadam atau dikekalkan.

“MCMC akan menerima setiap aduan yang dikemukakan dan menyalurkannya kepada platform berkaitan secara profesional, tanpa sebarang prejudis atau pilih kasih.

“Keputusan sama ada sesuatu kandungan itu diturunkan atau dikekalkan tertakluk sepenuhnya kepada pertimbangan platform berkenaan,” katanya pada Sidang Media Mingguan Kementerian Komunikasi, hari ini.

Menurutnya, pendekatan itu selaras dengan amalan global yang menunjukkan tanggungjawab pengurusan kandungan digital kini dikongsi antara pihak berkuasa dan penyedia platform.

Berdasarkan laporan sebelum ini, MCMC menerima ratusan ribu aduan setiap tahun berhubung kandungan berbahaya seperti penipuan dalam talian, perjudian, buli siber dan kandungan jelik, dengan majoritinya diproses melalui permintaan penurunan kepada platform seperti Meta, TikTok dan Google, namun keputusan akhir kekal di bawah bidang kuasa syarikat berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa beberapa aktivis dan penghasil kandungan dalam talian yang kritikal terhadap kerajaan telah berdepan tindakan.

Datuk Fahmi menambah, orang ramai tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada MCMC untuk membuat aduan, kerana semua platform media sosial kini menyediakan fungsi laporan terus yang boleh digunakan oleh pengguna bagi mempercepatkan tindakan terhadap kandungan bermasalah.-13/6/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.