Dalam politk ada banyak cara untuk tunjuk pendirian dan apa yang dihadapi oleh Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu 13 Jun cukup dramatik.
Ini selepas pada 8 Jun lalu diceraikan secara rasmi oleh PAS yakni putusnya kerjasama politik antara kedua parti.
Kini platform rasmi yang longgar tinggal antara mereka cumalah dalam gabungan Perikatan Nasional.
Semua orang tahu tanpa ikatan kerjasama politik…hubungan yang tinggal antara PAS-Bersatu tidak beri makna apa-apa.
Individu yang pasti tersenyum riang pada Sabtu 13 Jun tentulah bekas Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Konvensyen Reset anjuran beliau dan pasukannya di Tanah Merah Kelantan,berlangsung gegar gempita dihadiri oleh sekitar 20,000.
Ia dihebatkan lagi dengan kehadiran Presiden PAS Tan Sri Hadi Awang dan ramai pimpinan utama PAS.
Kemuncak acara ialah Hamzah mengumumkan pelancaran parti baru pimpinannya Parti Wawasan Negara.
Ia akan menjadi wadah beliau dan penyokongnya ‘berkampong” setelah disingkir dari Bersatu.
Kalau sebelum ini kata orang main kias kias segala macam…namun pada majlis itu sudah terbentang pada satu dunia bagaimana eratnya hubungan antara Hamzah dan pimpinan PAS.
Malah ikut cakap Hamzah bahawa Haji Hadi yang berikan nama parti baru itu.
Pemimpin utama PAS itu juga telah buat pengumuman yang penting dalam hubungan dengan Hamzah dan parti barunya.
Katanya Hamzah akan dilantik semula sebagai Ketua Pembangkang di parlimen.
Sebelum ini pada pada 15 Mei lalu, Perikatan Nasional mengumumkan pelantikan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri yang jug Ahli Parlimen Kemaman, sebagai Ketua Pembangkang baharu menggantikan Hamzah sebagai penyandang.
“PAS bersetuju meneruskan khidmat Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang. Ada keputusan, satu gol,”katanya.
Presiden PAS itu berkata, pada masa sama, Ahmad Samsuri kekal sebagai Pengerusi Perikatan Nasional..
Beliau menjelaskan keputusan melantik semula Hamzah sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat dibuat melalui musyawarah dan akuan bersumpah (SD).
Katanya keputusan melalui kedua-dua kaedah itu turut melibatkan semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).
Haji Hadi juga menegaskan hubungan partinya dengan Bersatu sudah berakhir, sekali gus menyerahkan kepada parti pimpinan Muhyiddin untuk menentukan sama ada mahu kekal dalam Perikatan Nasional atau sebaliknya.
PAS juga, katanya bersetuju menerima kemasukan Parti Wawasan Negara ke dalam Perikatan Nasional (PN).
“PAS dah bersetuju dan kita dah berpisah dengan Bersatu, jadi terpulanglah kepada dia (Bersatu) nak keluar atau nak kekal lagi, terpulang pada dialah.
“Tapi Parti Wawasan Negara (pimpinan Hamzah ) nak masuk PN tidak ada masalah,” katanya.
Haji Hadi turut mendedahkan PAS sebelum ini pernah mencadangkan supaya Bersatu menerima semula ahli-ahli parti itu yang dipecat atau digantung.
Bagaimanapun, katanya, cadangan tersebut tidak dipersetujui Bersatu.
“Kita dah kemukakan cadangan dalam mesyuarat tetapi Bersatu tak terima.
“Kita kemukakan cadangan untuk terima balik mereka yang dipecat, digantung tetapi Bersatu tak terima, sampai begitu sekali dan kita ada surat daripada setiausaha agung,” katanya.
Isunya sekarang apakah pendirian Bersatu ekoran kenyataan terbaru Haji Hadi ‘serahkan’ kepada parti itu tentukan halatujunya.
Ekoran pengumuman PAS putuskan kerjasama politik pada 8 Jun lalu Muhyiddin dalam reaksinya awalnya melahirkan rasa dukacita.
Muhyiddin berkata, keputusan tersebut dibuat sepenuhnya oleh PAS dan bukan atas kehendak Bersatu.
Dalam pada itu,beliau menegaskan bahawa Bersatu akan terus kekal sebagai parti pengasas PN dan tidak akan berganjak daripada perjuangan yang dibawa gabungan tersebut.
Katanya, parti itu akan terus memperkukuhkan kedudukannya dalam PN selain memperkasa agenda prihatin rakyat yang menjadi teras perjuangan gabungan berkenaan sejak penubuhannya.
“Sebagai parti pengasas Perikatan Nasional, Bersatu akan terus kekal dalam Perikatan Nasional dan memperkukuhkan teras perjuangannya.
“Bersatu akan memperkasa agenda prihatin rakyat yang dibawa Perikatan Nasional sejak penubuhannya serta mendokong hasrat rakyat yang mahukan perubahan serta kepimpinan yang mewakili aspirasi seluruh warga Malaysia,” katanya.
Beliau turut menggesa seluruh kepimpinan, ahli parti dan rakan seperjuangan agar tidak terkesan dengan perkembangan tersebut, sebaliknya terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan Perikatan Nasional sebagai wadah perjuangan politik.-13/7/2026

