Bersatu masih nak kekal dalam Perikatan Nasional…dakwa tak boleh disingkir

Parti Bersatu pada Selasa malam beri jawapan rasmi pada soalan yang hangat berlegar sejak 13 Jun lalu bila mana PAS tanpa berselindung suarakan dokongan pada team Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang akan berpayung dibawa Parti Wawasan Negara.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin isytihar parti itu akan kekal dalam Perikatan Nasional (PN).

Katanya sebagai parti pengasas PN, tidak ada sebab untuk Bersatu mengambil pendirian keluar daripada PN.

“Kita akan terus kekal sebagai anggota PN dan tidak ada mana-mana pihak pun yang boleh mengambil tindakan untuk menyingkirkan Bersatu,” katanya dalam sidang akhbar selepas pengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya.

Turut hadir Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau mengingatkan Bersatu tak boleh disingkirkan dari PN secara unilateral.

Serentak dengan itu Muhyiddin kata Bersatu akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan menggunakan logo PN.

Muhyiddin yang mendakwa PN yang kini mula diterima sebahagian besar pengundi Melayu sudah berdepan cabaran perpecahan dalaman.

“Jadi, sudah ada satu ‘branding’. PN adalah satu ‘brand’ yang baik yang kita mula tajakan,” katanya.

Muhyiddin juga persoalkan tiada sebarang pemakluman dibuat PN untuk memanggil sebarang mesyuarat setakat ini.

“Saya tidak dimaklumkan sebagai Timbalan Pengerusi (PN), dan saya semak ini, di depan saya ini semua ahli Majlis Tinggi (Tertinggi) PN. Jadi kalau tak panggil mesyuarat, tak boleh dikata mesyuarat itu sah.

“Kita sampai hari ini tidak ada satu mesyuarat pun dipanggil, khususnya untuk membincangkan soal persiapan pilihan raya. Saya bukan nak bandingkan kehebatan saya, tapi menjalankan tugas sewaktu saya jadi Pengerusi Majlis Tertinggi PN. Satu ‘by-election’ (pilihan raya kecil) pun kita panggil (mesyuarat), satu ‘state election’ (PRN) apa lagi.

“Lepas itu ‘general election’ (pilihan raya umum) pun kita panggil, panjang, berkali-kali. Itu mesyuarat. Saya tak tahu kenapa perkara ini berlaku sekarang,” katanya.

PAS kebelakangan ini secara terbuka tunjuk ia lebih mendokong team Hamzah berbanding dengan Bersatu pimpinan Muhyiddin.

Selepas baru-baru ini umum parti itu putuskan Kerjasama politik dengan Bersatu….Presiden PAS Tan Sri Hadi Awang hadir di pelancaran Parti Wawasan Negara yang akan menjadi wadah baru team Hamzah bernaung.

Di majlis itu juga Haji Hadi umum Hamzah dilantik semula sebagai Ketua Pembangkang di parlimen.

Haji Hadi juga menegaskan hubungan partinya dengan Bersatu sudah berakhir, sekali gus menyerahkan kepada parti pimpinan Muhyiddin untuk menentukan sama ada mahu kekal dalam PN atau sebaliknya.

PAS juga, katanya bersetuju menerima kemasukan Parti Wawasan Negara ke dalam PN.

“PAS dah bersetuju dan kita dah berpisah dengan Bersatu, jadi terpulanglah kepada dia (Bersatu) nak keluar atau nak kekal lagi, terpulang pada dialah.

“Tapi Parti Wawasan Negara (pimpinan Hamzah ) nak masuk PN tidak ada masalah,” katanya.

Haji Hadi turut mendedahkan PAS sebelum ini pernah mencadangkan supaya Bersatu menerima semula ahli-ahli parti itu yang dipecat atau digantung.

Bagaimanapun, katanya, cadangan tersebut tidak dipersetujui Bersatu.

“Kita dah kemukakan cadangan dalam mesyuarat tetapi Bersatu tak terima.- 17/6/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.