13 Julai pula…keputusan kes Syed Saddiq

Setelah melalui debaran yang panjang selama enam tahun…Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terpaksa menunggu lagi.

Sepatutnya hari ini muktamad di Mahkamah Rayuan Putrajaya buat keputusan mengenai rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap pembebasan beliau daripada sabitan rasuah.

Namun ia telah ditunda ke 13 Julai ini pula.

Ini gara-gara salah seorang dari tiga hakim yang mempengerusikan kes, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali sedang bercuti sakit kerana tidak sihat.

Penangguhan keputusan dimaklum oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais di awal prosiding pada jam 9.30 pagi.

Menurut hakim itu beliau dan Datuk Collin Lawrence Sequerah ada di mahkamah, tetapi Che Mohd Ruzima tidak hadir kerana mereka diberitahu beliau tidak sihat dan bercuti sakit selama dua hari bermula hari ini.

“Kami sebenarnya sudah bersedia dengan keputusan, tetapi malangnya perkara yang tidak diduga ini berlaku hari ini, bagaimanapun kami bersedia untuk menyampaikan keputusan pada 13 Julai ini,” katanya.

Syed Saddiq yang kini berusia 34 tahun tiba ke mahkamah pada jam 8.50 pagi, diiringi ibunya, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz.
Turut hadir di mahkamah ialah tunang beliau ,Bella Astillah.

Syed Saddiq berdepan kes sejak 2021.

Keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023 mendapati Syed Saddiq bersalah atas empat pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah, salah guna harta secara tidak jujur dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan dana sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia, ARMADA.

Pada Jun 2025 Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak keputusan beliau bersalah dibuat oleh Mahkamah Tinggi dan membebaskannya.

Bagaimanapun kemudian pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon keputusan Mahkamah Tinggi dikembalikan, yang sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta terhadap bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

Prosiding kali ini merupakan medan rayuan terakhir bagi pihak pendakwaan selaku pemohon, manakala Syed Saddiq ialah responden.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali, iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, Kuala Lumpur, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk dirinya sendiri iaitu wang berjumlah RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya, Kuala Lumpur, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun, sebatan dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing berjumlah RM50,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya yang didakwa merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. – 30/6/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.