Rakyat Malaysia suka melancong, Jepun destinasi utama – VISA

Biarpun berdepan dengan tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan bekalan tenaga di peringkat global, semangat rakyat Malaysia untuk melancong tetap utuh. Malah, pengguna tempatan kekal aktif merancang percutian, dengan kecenderungan yang ketara ke arah destinasi yang tidak terlalu jauh.

Menurut tinjauan terbaharu oleh Visa Malaysia, rakyat negara ini kini dilihat lebih cenderung untuk melancong di rantau Asia Pasifik. Hampir lapan daripada 10 responden (78 peratus) memilih rantau ini sebagai destinasi utama untuk dikunjungi.

Jepun muncul sebagai destinasi pilihan nombor satu, diikuti rapat oleh Thailand, Indonesia, China, dan Singapura.

Dari segi motivasi percutian, tujuan utama adalah untuk bersantai (48 peratus), meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan (40 peratus), serta meneroka pengalaman baharu (31 peratus).

Faktor kemampuan (36 peratus) dan keselamatan (31 peratus) pula memainkan peranan yang semakin penting dalam membentuk pilihan destinasi. Ini mencerminkan trend yang lebih luas di mana pelancong kini bijak mengimbangi faktor keselesaan dengan penerokaan, serta mengutamakan pengalaman yang bermakna dan terurus.

Pelancongan Asas Acara Semakin Rancak

Tinjauan itu turut mendedahkan trend pelancongan berasaskan minat yang semakin mendapat perhatian. Ramai rakyat Malaysia menunjukkan minat yang tinggi untuk melancong bagi menghadiri acara-acara gergasi global dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Antara acara yang menjadi sebutan termasuklah menyaksikan temasya sukan antarabangsa secara langsung seperti Piala Dunia FIFA 2026, perlumbaan Formula 1, serta konsert dan pesta gergasi seperti persembahan K-Pop. Ini memperlihatkan bahawa pengalaman unik kini menjadi faktor penyokong utama dalam membuat keputusan perjalanan.

AI Mula Dominasi Perancangan Perjalanan

Dalam era digitalisasi, teknologi Kecerdasan Buatan (AI) kini muncul sebagai alat penting bagi menentukan keputusan perjalanan di peringkat awal.

Dalam kalangan pengguna tempatan yang menggunakan AI untuk merancang percutian, 58 peratus memanfaatkannya untuk mencari dan meneroka destinasi baharu. Manakala 54 peratus pula bergantung kepada AI untuk menyediakan jadual perjalanan yang lebih tersusun.

Pelancong juga didapati menggunakan AI untuk membaca ulasan, mendapatkan cadangan, dan membandingkan harga. Ia membuktikan bahawa alat digital ini bukan sahaja mengoptimumkan urusan perjalanan, malah menjadi pengaruh besar yang membantu pelancong merancang dengan tahap ketelusan dan keyakinan yang lebih tinggi.

Kad Kredit Kekal Pilihan Utama, Isu Kos Tukaran Mata Wang Masih Jadi Kerisauan

Sementara itu, walaupun aliran transaksi digital semakin meluas dan diterima pakai di kebanyakan pasaran global, tinjauan mendapati masih terdapat sebilangan pelancong Malaysia yang berasa bimbang mengenai kemudahan akses pembayaran ketika ke luar negara.

Kerisauan utama merangkumi kos pertukaran mata wang asing, tahap penerimaan kad di sesebuah destinasi, serta kos pengeluaran wang menerusi mesin juruwang automatik (ATM).

Walaupun begitu, kad kredit kekal sebagai kaedah pembayaran kegemaran majoriti pelancong negara (32 peratus), diikuti oleh dompet digital (31 peratus), kad debit (16 peratus) dan kaedah pembayaran lain (21 peratus).-1/7/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.